Pelakon popular, Mira Filzah tampil menafikan dakwaan netizen bahawa anak lelakinya, Wan Khair Amir kelihatan terlalu kurus akibat kurang makan.
Dalam sesi siaran langsung di media sosial, Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 32, menjelaskan bahawa fizikal Amir sebenarnya dipengaruhi faktor genetik daripada keluarga suaminya.
Menurut Mira, Amir mewarisi bentuk tubuh tinggi dan kurus seperti bapanya serta bapa-bapa saudaranya yang kebanyakannya mempunyai ketinggian melebihi enam kaki.
Walaupun baru berusia tiga tahun, Amir sudah kelihatan lebih tinggi daripada kebanyakan kanak-kanak seusianya. Mira menegaskan tiada isu kekurangan makanan kerana anaknya makan dengan baik, malah aktif bermain sehingga masih berpeluh pada waktu malam.
Menjengah ke ruangan komen, ramai warganet menyokong kenyataan Mira dan berkongsi pengalaman serupa, bahawa kanak-kanak lelaki memang cenderung aktif serta memiliki bentuk tubuh berbeza.
Untuk rekod, Mira mendirikan rumah tangga bersama Wan Emir Astar pada 3 September 2020 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki.