Kira-kira 170 penumpang berasa berang setelah mereka ‘terperangkap’ selama hampir tiga jam di dalam sebuah pesawat AirAsia dan tidak dibenarkan keluar dari pesawat KLIA2 dalam kejadian yang berlaku semalam.
Pesawat AK6442 dari KLIA2 menuju ke Kota Bharu itu dijangka berlepas pada pukul 8.30 malam.
Bagaimanapun, juruterbang pesawat terbabit lantas membuat pengumuman bahawa penerbangan itu tergendala buat seketika atas alasan perlu menunggu dokumen pelepasan serta mengisi minyak pesawat.
Selepas hampir 1 jam menunggu, penumpang mula resah apabila penerbangan itu masih lagi tergendala.
Penumpang yang berang menuntut penjelasan dari pramugari yang bertugas.
Utusan Online melaporkan, kira-kira jam 10.30 malam, juruterbang pesawat tersebut membuat pengumuman memberitahu para penumpang bahawa penerbangan tersebut akan diteruskan oleh juruterbang lain.
“Setakat ini, kita masih menunggu dokumen pelepasan dan minyak juga belum sampai.
“Untuk makluman penumpang, saya tidak akan meneruskan penerbangan ini dan juruterbang lain sedang dalam perjalanan. Harap maaf,” katanya.
Selain dari tergendala, penumpang juga turut berang kerana syarikat penerbangan tersebut tidak menyediakan makanan atau minuman biarpun mereka ‘terperangkap’ di dalam pesawat itu untuk satu tempoh yang lama.
Diharapkan perkara seperti ini tidak akan berulang lagi. Sepatutnya perlu memastikan pesawat telah diisi minyak lebih awal bagi mengelakkan kelewatan perlepasan.