Pelakon Nadzmi Adhwa merayu kepada orang ramai agar tidak berkongsi sebarang gambar yang boleh menimbulkan salah faham atau fitnah terhadap isterinya, Ardell Aryana, yang baru dibebaskan selepas ditahan pihak tentera Israel.
Menerusi hantaran di Threads, Nadzmi memohon agar masyarakat memberi masa dan ruang buat isterinya yang kini masih dalam proses pemulihan.
Tulisnya,
Minta masa dan doa sahaja untuk isteri saya dan kesayangan korang semua. Tolong jangan sebarkan gambar yang bukan-bukan. Boleh tak kita tunggu Ardell balik dulu? Please ya korang.
Dia turut berterima kasih atas doa dan keprihatinan rakyat Malaysia yang sentiasa mengambil berat tentang keadaan isterinya.
Sebelum ini, Ardell dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian bahu akibat kekasaran tentera Zionis ketika menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza. Menurut laporan CENTHRA, Ardell turut ditumbuk di muka dan ditarik rambutnya, manakala aktivis lain termasuk PU Rahmat turut dimalukan oleh tentera Israel.
Ardell bersama 22 sukarelawan Malaysia kini dilaporkan selamat tiba di Istanbul, Turkiye, selepas dibebaskan daripada tahanan.