Permintaan gaji yang terlalu tinggi serta kurangnya rasa tanggungjawab untuk menggalas tugas merupakan antara penyebab majikan cuba mengelak mengambil orang muda untuk bekerja.
Selain itu, sikap buruk sesetengah orang muda juga menjadi punca majikan lebih senang untuk mengambil pekerja yang berpengalaman dan pekerja mahir.
Perkara itu didedahkan oleh Pengurus JobStreet Malaysia dan Singapura, Chook Yuh Yng apabila memberitahu, ramai golongan muda mudi berpendapat mereka boleh memilih kerja lain, lapor FMT.
“Kami menerima aduan daripada banyak majikan bahawa pekerja mereka tidak muncul pada hari pertama dan tidak menelefon untuk memaklumkan.
“Majikan berpendapat mereka sekurang-kurangnya boleh memaklumkan supaya orang lain boleh digaji,” katanya lapor China Press.
Menurut Yuh Yng, pekerja muda biasanya akan menghantar banyak surat permohonan kerja pada satu-satu masa.
Katanya, orang muda sepatutnya berfikir secara masak mengenai pekerjaan yang sesuai untuk diri sendiri.
“Mungkin disebabkan kemudahan yang ada, orang muda berpendapat mereka boleh memohon kerja di platform lain jika gagal di satu platform,” katanya.