Baru-baru ini, pelakon Noor Khiriah ada memuat naik entri memohon sumbangan ikhlas daripada orang ramai dalam usaha murninya mengubah suai sebuah kenderaan MPV kepada van jenazah.
Ternyata, impiannya itu tercapai apabila sumbangan yang dipinta itu diperoleh hasil derma orang ramai hanya dalam masa tidak lebih daripada 24 jam.
Pelakon drama Nur ini kemudian memuat naik sebuah entri terbaru yang mengatakan hasil sumbangan telah mencukupi dan sempat mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sudi menghulurkan bantuan.
“Assalamualaikum. Terima kasih kalian. Sumbangan untuk 2nd Van Jenazah ditutup sebab dah cukup rezekinya untuk suami akak transform MPV itu ke Van Jenazah. InshaAllah bila dah siap akak share gambar Van Jenazah milik kita bersama di sini ya. Semoga Allah membalas segala kebaikan kalian. Terima kasih semua.”
Tambahnya lagi, dia tidak dapat menggambarkan perasaannya apabila berjaya mengumpul dana dalam tempoh yang cukup singkat iaitu tidak sampai tempoh sehari.
Sekadar info, sebelum ini Khiriah turut menjadikan MPV miliknya sebagai kenderaan jenazah yang pertama dan percuma kepada insan yang memerlukan.