Kementerian Pertahanan memandang serius dakwaan kemasukan individu tidak berkaitan serta berlakunya aktiviti tidak bermoral di dalam kem tentera seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian memaklumkan bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah diarahkan untuk menjalankan siasatan dalaman segera bagi memastikan kesahihan dakwaan tersebut secara menyeluruh, memetik KOSMO ONLINE.

“Kementerian Pertahanan menegaskan bahawa dakwaan tersebut tidak mencerminkan budaya, nilai dan amalan sebenar ATM yang berteraskan disiplin, profesionalisme serta pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan.
“Jika didapati benar, tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak selaras dengan peraturan, tatacara serta undang-undang semasa,” katanya.
Dalam masa sama, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan awal yang boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan reputasi Kementerian Pertahanan dan ATM.
Menurut kenyataan itu, kementerian dan ATM turut menegaskan komitmen berterusan dalam memastikan tahap disiplin, integriti dan profesionalisme warga pertahanan sentiasa berada pada tahap tertinggi.
“(Kementerian Pertahanan) juga tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan imej dan kredibiliti institusi pertahanan negara,” ujarnya.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
