Pelakon Mimi Lana menegaskan dia tidak pernah meletakkan syarat agar syarikat produksi atau jenama hanya boleh mengambil dirinya bersama suami, pelakon Syafiq Kyle, untuk sebarang projek.
Menurut Mimi, 29, masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri dan sejak sebelum berkahwin lagi, gandingan mereka dalam kempen atau projek hanya berlaku jika sesuai dengan produk yang diwakili.
Jelasnya,
Tak semestinya bila dah kahwin, orang kena ambil kami berdua sekali. Saya dan Syafiq tiada syarat sebegitu, kalau muncul seorang pun tiada masalah. Kalau dapat bersama, itu bonus.
Katanya lagi, mereka bersyukur apabila peluang seperti kempen Nivea Luminous Skin Glow Serum datang serentak kerana sesuai untuk kedua-dua gender. Mimi menganggap kerjasama itu bukan sahaja kerja, malah masa berkualiti bersama peminat dan pasangan.
Sementara itu, Mimi mendedahkan dia buat masa ini hanya menyokong kerjaya Syafiq dalam penerbitan. Syafiq yang sudah hampir 15 tahun dalam industri bakal mengarah sebuah supertele pada awal tahun depan menerusi syarikat produksinya, Indigo Films.
Pasangan ini baru sahaja mendirikan rumah tangga pada 14 Februari lalu di Taiping, Perak, dan masih dalam fasa bulan madu.