Microsoft hari ini mengeluarkan kenyataan yang menyatakan bahawa mereka tidak menemui sebarang bukti bahawa teknologi Azure dan kecerdasan buatan (AI) digunakan oleh Israel untuk mencederakan warga Gaza.
Kenyataan ini dikeluarkan selepas Microsoft dikecam kerana mempunyai kontrak bernilai $133 juta dengan Israel untuk menyediakan perkhidmatan awanan mereka.
Siasatan dilakukan oleh Microsoft dengan menemubual kakitangan dan menyemak dokumen berkaitan. Namun, firma luaran yang dilantik untuk melakukan siasatan ini tidak diumumkan oleh Microsoft.
Microsoft menjadi tumpuan selepas laporan AP mendapati Israel meningkatkan penggunaan perkhidmatan Azure dan AI Microsoft selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.
Dalam laporan yang sama, penggunaan perkhidmatan tersebut dilaporkan meningkat hampir 200 kali ganda daripada biasa, sehingga memakan ruang storan sebanyak 13.6 petabyte.
Walaupun diketahui bahawa Israel menggunakan kecerdasan buatan untuk memantau pergerakan dan komunikasi warga Palestin dengan alasan “menjaga keselamatan”, tiada kecaman dari negara Barat terhadap tindakan tersebut, berbeza dengan tuduhan terhadap China yang dianggap melanggar hak asasi manusia untuk melakukan perkara yang sama.
Sejumlah kakitangan Microsoft dipecat kerana membantah secara terbuka teknologi Microsoft digunakan oleh Israel dalam melakukan genosid di Gaza.
Selain Microsoft, Google juga memecat puluhan kakitangan yang menentang penggunaan teknologi Project Nimbus oleh Israel tahun lalu.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.