Bagi mewujudkan keserasian dan lakonan yang lebih mantap di dalam drama Hero Seorang Cinderella, pengarahnya Michael Ang akui beliau memaksa pelakon Fattah Amin dan Fazura untuk benar-benar bercinta.
Mereka tidak pernah digandingkan bersama. Sebagai pengarah, saya sudah memberi pesanan awal terhadap Fattah dan Fazura supaya mereka benar-benar bercinta ketika di set penggambaran untuk mewujudkan keserasian. Selepas beberapa ketika, jalinan kemesraan antara mereka mula terpancar menerusi visual. Mereka berdua sangat profesional dan mudah untuk bekerjasama.
Sebelum ini, drama Suri Hati Mr Pilot yang juga merupakan arahan Michael mendapat sambutan yang luar biasa dan ia turut mempunyai kualiti tersendiri. Menurut Michael, bukan mudah untuk beliau mengekal momentum untuk menghasilkan drama berkualiti dan memastikan Hero Seorang Cinderella turut berada di tahapnya sendiri.
Saya perlu memastikan Hero Seorang Cinderella berada di tahap tersendiri. Bukan untuk bersaing, tetapi saya hanya mahu mengekalkan momentum Suri Hati Mr. Pilot. Saya mahu menghasilkan sesuatu yang memuaskan hati penonton. Syukur kerana walaupun baru seminggu bersiaran, drama bersiri ini mendapat maklumbalas positif.
Gandingan Fattah dan Fazura harus diakui memang menjadi dan berjaya mendapat tempat di hati penonton. Satu usaha yang agak baik daripada Michael Ang yang mahukan mereka benar-benar bercinta di set penggambaran bagi menghidupkan watak didalam drama HSC.