Pelakon Mia Sara akhirnya tampil membuka mulut dan mengakui kekhilafan masa lalu apabila terlanjur menulis kenyataan yang kedengaran negatif terhadap rakan seindustri, Puteri Balqis.
Mia Sara atau nama sebenarnya, Mia Sara Nasuha Muhammad Ridhuan, 21, berkata dia sama sekali tidak menyalahkan Puteri Balqis atau Aqish kerana kembali mengungkit perkara tersebut, memandangkan ia meninggalkan kesan besar terhadap dirinya.
“Saya tak salahkan dia pun, sebab saya baca balik cara saya tulis pun memang ia sangat ‘mengundang’. Saya tak tahu apa yang saya cakap itu kedengaran seperti saya menghina bagaimana dia dibesarkan.
“Perkara itu jadi sangat besar sehingga saya tidak tahu hendak berbuat apa,” katanya menerusi sebuah sedutan penampilannya dalam podcast Kita Kita Aje kendalian Aznil Nawawi.
Pelakon Nur Kasih The Movie itu turut berkongsi bahawa insiden berkenaan membuatkan dirinya panik dan terdetik untuk segera memohon maaf secara terbuka kepada Aqish.
Namun, hasrat tersebut terbantut apabila bapanya menasihatinya agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kerana bimbang keadaan akan menjadi lebih keruh.
Dalam pada itu, Mia Sara turut mendedahkan bahawa keesokan harinya, Puteri Balqis sendiri telah memohon maaf kepadanya, meskipun dia merasakan dirinya berada di pihak yang bersalah.
“Saya merasa lebih bersalah kerana saya yang tersalah, saya cakap salah, di mana saya tidak berniat apa-apa langsung,” katanya.
Pengakuan tersebut sekali gus memperlihatkan kejujuran Mia Sara dalam menilai semula tindakannya serta kematangan kedua-dua pelakon muda itu dalam menangani konflik secara terbuka dan berlapang dada.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
