Meskipun sering kali dihentam dan dikritik oleh netizen akan kemampuan vokanya, penyanyi Nabila Razali akui dirinya langsung tidak pernah berhasrah untuk berhenti menyanyi.
Katanya, walaupun diuji dengan pelbagai dugaan seperti berdepan masalah kotak suara sehingga terpaksa menarik diri daripada membuat persembahan di Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) Ke-35, namun Nabila dilihat tetap optimis dan tidak pernah berputus asa.
“Saya tidak pernah berputus asa menyanyi. Sudah tentu sebagai manusia, kita tidak dapat lari daripada dugaan. Mungkin saya ‘public figure’ dan dikenali ramai, jadi, salah saya orang nampak. Tetapi apabila ada perkara baik yang saya buat, tidak pula dijulang tinggi. Tidak mengapa, orang hendak cakap apa pun sekarang. Apa yang penting, perjalanan saya dalam bidang ini masih panjang.”
Tambahnya lagi, beliau juga telah bersetuju untuk terus menyanyi tanpa memikirkan akan pendapat orang lain.
“Saya berkecimpung dalam industri ini bukan untuk orang lain, untuk diri sendiri dan keluarga. Jadi tidak perlu fikir pendapat orang lain dan saya akan terus menyanyi,”
Menurut laporan BH Online, Nabila tampil menafikan keputusannya menarik diri daripada SFMM35 mendendangkan lagu Peluang Kedua adalah gimik untuk meraih perhatian netizen.
“Sudah semestinya saya sedih sebab sejak lagu Pematah Hati gagal ke pentas separuh akhir SFMM33, saya berharap dapat beraksi di SFMM35. Ralat memang ada, tapi saya akur sebab rezeki tidak selalunya berpihak kepada kita. Saya percaya semua ini ada hikmahnya.”
Untuk rekod, Nabila sehingga kini masih merahsiakan siapakah yang bakal menggantikannya bertanding di pentas SFMM35, namun hanya memberi gambaran bahawa penyanyi tersebut mampu memberi impak yang lebih besar daripadanya.
Sumber: BH Online