Meminta supaya jangan mengecam individu yang menunaikan solat di tepi lebuh raya baru-baru ini, pendakwah bebas, Pencetus Ummah (PU) Azman tampil bersuara berkenaan kisah yang mula tular di laman sosial tersebut.
Tidak cepat menghukum, PU Azman menyatakan mereka yang solat tepi lebuh raya itu mungkin tidak berfikir panjang dan hanya takut hubungannya dengan Allah terputus.
Kenyataan itu dikupas menerusi perkongsian di laman Instagram miliknya. Pun begitu, PU Azman langsung tidak menolak ia telah melibatkan isu keselamatan dan nyawa.
“Yang solat tepi highway itu bagus semangatnya sangat menjaga solat. Cuma mungkin kupasan ilmu akan membimbingnya untuk memilih yang terbaik kerana isu keselamatan dan nyawa,”
Jelasnya lagi, andai kita berada di dalam keadaan darurat maka dibolehkan solat di dalam kenderaan meskipun ia tidak mengikut arah kiblat.
“Jika dalam kenderaan itu dia boleh melaksanakan solat dengan sempurna, maka wajib berbuat demikian. Jika tak boleh, maka solat sekadar mampu.”
PU Azman juga turut menasihatkan netizen supaya tidak mudah mengecam tindakan individu tersebut, malah menyeru supaya menasihati dengan cara yang betul.
“Bila kita lihat orang lain silap dan kurang, tampung dengan ilmu, bukan dengan kecam.”
Terdahulu, kecoh di media sosial apabila foto yang menunjukkan pengguna lebuh raya menunaikan solat Subuh di lorong kecemasan di Lebuhraya KLK akibat kesesakan lalu lintas untuk pulang ke kampung halaman bagi sambutan Hari Raya Aidiladha.
Perkara itu bukan sahaja mencuri netizen, namun turut menimbulkan reaksi kurang senang daripada pelbagai pihak sehingga menimbulkan perbalahan warganet di laman Twitter.