Seorang bapa kepada empat anak dijatuhkan hukuman denda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menghantar video sumbang dan lucah berkumpulan bagi tujuan komersial awal tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai tukang sapu, Desa@Yahaya, 45, didakwa secara sedar menggunakan akaun aplikasi X untuk memulakan penghantaran komunikasi iaitu video sumbang dan lucah bagi tujuan menyakitkan hati orang lain pada 26 Januari dan 4 Februari lalu.
Tertuduh turut didakwa secara sedar menyebarkan komunikasi lucah menggunakan akaun X iaitu video melalui pautan aplikasi Telegram bagi tujuan komersial kepada orang lain pada 8 Februari dan 17 Februari lalu.
Difahamkan, semua kandungan tersebut telah dilihat pihak berkuasa di Ibu Pejabat Polis Daerah (PD) Kubang Pasu, Jitra pada 20 Februari lepas.
Merayu kurangkan hukuman
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) dan 233(2)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam, didapati menjual kandungan video seks berkumpulan terbabit pada harga RM100 berdasarkan resit bayaran yang ditemui pihak berkuasa ketika melakukan siasatan.
Terdahulu, tertuduh merayu agar hukuman diringankan kerana hanya bekerja sebagai pekerja am pembersihan dengan pendapatan RM1,500 sebulan dan masih menyara isteri serta empat anak termasuklah dua yang sedang menuntut di universiti selain menjaga nenek yang uzur.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Fatin Hadni Khairuddin daripada pihak pendakwaan pula meminta hukuman berat kerana tindakannya memuat naik video mempromosi kegiatan seks berkumpulan termasuklah video hubungan isterinya bersama lelaki lain sambil disaksikan tertuduh.
Fatin Hadni memberi hujah bahawa video itu dijual kepada orang ramai dan hasil pemeriksaan SKMM mendapati banyak koleksi video milik tertuduh di media sosial yang dimuat naik sejak 2016.
Berikutan itu, Fatin Hadni meminta tertuduh dijatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran kepadanya dan pelaku lain yang terlibat dalam aktiviti yang sama.
Hakim kemudian menetapkan tertuduh dikenakan denda RM80,000 atau penjara dua tahun sekiranya gagal membayar hukuman berkenaan.
Tertuduh gagal membayar denda dan dilaporkan akan dibawa ke Penjara Pokok Sena untuk menjalani hukuman penjara yang telah ditetapkan.