Seorang guru sekolah menengah dan seorang lelaki yang bekerja sebagai juruteknik pendawaian dan pemasangan CCTV masing-masing dijatuhi hukuman denda RM5,000 atau enam bulan penjara selepas mengaku bersalah atas pertuduhan cubaan melakukan zina di Mahkamah Tinggi Syariah Alor Gajah, Jumaat lalu.
Saya mengaku bersalah dan merayu dikurangkan denda kerana pendapatan terjejas selepas berita itu tersebar.
‘Abang Wiring’ rayu denda dikurangkan
Memetik laporan Sinar Harian, demikian merupakan rayuan ‘Abang Wiring’, Muhammad Hairul Ezuan Hamzah selepas membuat pengakuan bersalah di atas petuduhan cubaan melakukan zina di Mahkamah Tinggi Syariah semalam.
Saya harap yang arif beri pengurangan denda. Saya telah buat solat taubat, saya ambil tanggungjawab terhadap Cikgu Fadilah.
Sementara itu, tertuduh kedua, Nur Fadilah Zainal, turut membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Syarie Mohd Yunus Mohamad Zin. Dalam rayuannya, Fadilah yang juga seorang ibu tunggal memberitahu bahawa dia merupakan penanggung utama kepada anak lelakinya yang berusia empat tahun serta menyara ibu bapa yang masing-masing menghidap masalah kesihatan.
Mengikut pertuduhan, mereka dituduh cuba melakukan persetubuhan haram dengan individu bukan pasangan sah di sisi syarak, di sebuah rumah di Taman Bukit Emas, Sungai Petai, Alor Gajah sekitar jam 9 malam pada 28 Februari lalu. Kes tersebut diklasifikasikan mengikut Seksyen 52 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum 36 bulan atau kedua-duanya sekali.
Hukuman maksimum sebagai pengajaran
Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Pendakwa Syarie, Atras Mohamad Zin, bersama Pendakwa Syarie Radzwan Abdullah. Dalam hujahnya, Atras memohon hukuman maksimum sebagai pengajaran dan bukan hanya kepada pasangan tersebut tetapi juga kepada masyarakat seluruhnya.
Beliau turut menekankan bahawa tertuduh wanita merupakan seorang pendidik dan tertuduh lelaki pula masih berstatus suami ketika kejadian berlaku.
Menurutnya, tertuduh kedua merupakan seorang pendidik dan sudah pasti keputusan mahkamah ini akan menjadi perhatian dan panduan pada masa akan datang selain tertuduh pertama merupakan seorang suami, namun telah melakukan perkara di luar batas.
Kalau kita kembali kepada kedudukan dalam hukum syarak, kedua-dua tertuduh ini pesalah yang pernah berkahwin dan mengikut hukum hudud mereka perlu direjam sampai mati.
Terdahulu, kontroversi pasangan ini mula tercetus apabila tular di media sosial beberapa tangkap layar mesej yang tidak senonoh serta video isteri kepada Hairul Ezuan bersemuka dengan Cikgu Fadilah.