Penyanyi Datuk Fazley Yaakob telah menamatkan perjuangannya dalam pentas nyanyian Gegar Vaganza musim ke-8 setelah tersingkir di minggu ke-4, malam tadi.
Fazley yang menyampaikan lagu Mahligai Syahdu nyanyian asal Datuk Hattan telah memperoleh markah sebanyak 50 peratus sekaligus menjadikan dia peserta kedua yang tersingkir selepas Nico G.
Meskipun menjadi peserta paling tercorot, juri tetap Datuk Syafinaz Selamat menyifatkan nyanyian Fazley kali ini adalah persembahan terbaik namun masih banyak yang perlu diperbaiki.
Syafinaz turut menyarankan agar Fazley mengambil kelas vokal jika masih mempunyai keinginan untuk menyanyi pada masa akan datang.
Menjengah ke media sosial, ramai peminat program nyanyian itu berpendapat Fazley lebih sesuai meneruskan kerjaya dalam bidang kulinari berbanding menyanyi.
Manakala bagi Fazley, dia sudah menjangkakan penyingkiran dalam persembahan minggu ini.
“Kepada mereka yang nak tengok saya berhenti menyanyi dan memasak, jemput datang ke bistro saya..” katanya sebagai penutup persembahan malam itu.
Persembahan minggu ke-4 malam tadi telah menyaksikan Adibah Noor mendapat markah tertinggi iaitu 78.10 peratus diikuti Nikki Palikat (76.6) dan Suki Low (75).