
Bagi mereka yang gemarkan kucing akan tetapi mempunyai alahan dengan bulu kucing, ini merupakan berita baik bagi anda kerana YUKAI Engineering Inc. telah mengeluarkan satu produk kusyen terapi berbentuk ekor kucing bagi tujuan melepaskan tekanan. Perkataan Qoobo itu sendiri diilhamkan dari perkataan Perancis iaitu queue (bermaksud “ekor”) and “robot”.
Ekor kucing yang bersambung pada kusyen ini akan bereaksi dan respon berdasarkan cara anda membelai kusyen itu sendiri. Ekornya itu akan beraksi dengan lemah lembut jika kusyen itu dibelai dengan lembut. Begitu juga sebaliknya jika ekornya itu dibelai dengan agresif. Produk ini mula diperkenalkan kepada ramai di CEATEC JAPAN 2017, sebuah pameran yang berlangsung di Jepun baru-baru ini.
Jurutera di syarikat ini telah mendapat ilham untuk menghasilkan produk ini apabila salah seorang daripada pekerja syarikat ini mengusulkan cadangan untuk membina sebuah robot berbentuk kucing bagi tujuan melepaskan tekanan di rumah selepas penat pulang dari bekerja. Bagi menghasilkan produk ini, para jurutera telah menghabiskan banyak masa bagi mengkaji bahan,saiz dan berat yang sesuai bagi kusyen ini.
Harga jualan bagi kusyen ini masih belum dikeluarkan lagi, namun dijangka akan berada di pasaran pada musim panas tahun 2018. Setakat ini terdapat 2 jenis reka bentuk/warna yang diumumkan iaitu “Husky Gray” dan “French Brown”.