Balu kepada pelawak terkenal Allahyarham Abam Bocey, Nor Hidayah Mohd Ali dilaporkan telah memenangi kes saman fitnah yang difailkan terhadap adik iparnya, Ali Puteh, di mana keputusan mahkamah telah diumumkan pada hari ini.
Sehubungan dengan itu, Hidayah khabarnya ada menunaikan hajatnya dan meluahkan kesyukuran di atas kemenangan itu dengan bersedekah di surau sebaik sahaja diumumkan mengenai kes saman fitnah tersebut.
Menerusi perkongsian Instastory ibu tunggal kepada seorang anak itu, dia dilihat ada membeli buah-buahan untuk disedekahkan di Surau Nurul Iman, Seksyen 6 Kota Damansara.
Dia dalam pada itu sempat mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang mendoakan dirinya sepanjang kes itu berlangsung selama lebih 2 tahun.
Dalam video tersebut Hidayah masih lagi terlihat sebak dan matanya masih bergenang air mata kegembiraan.
Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa nasib Nor Hidayah telah terbela apabila dia memenangi kes saman fitnah yang difailkan oleh Ali Puteh atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan,33,.
Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Zulqarnain Hassan di mana pelawak tersebut telah diperintahkan untuk membayar ganti rugi kepada Hidayah sebanyak RM60,000.