Penyanyi dan pelakon, Nabila Razali, meluahkan rasa kesal apabila mendapati mutu nyanyian seseorang artis dinilai berdasarkan kehidupan peribadi, bukannya kemampuan vokal sebenar.
Menerusi satu hantaran di platform Threads, Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd. Razali, 33, menyifatkan situasi tersebut sebagai sesuatu yang agak kelakar, memandangkan penilaian seharusnya dibuat berdasarkan kualiti suara dan persembahan.
“Kelakar bagaimana sesetengah orang menilai nyanyian melalui kehidupan peribadi, bukan pada suara,” tulisnya.
Perkongsian itu mencetuskan pelbagai reaksi netizen, dengan ramai meneka kenyataan berkenaan dipercayai merujuk kepada peserta Gegar Vaganza musim ke-12, Nubhan, yang meraih tempat ketiga dalam pertandingan realiti tersebut.
Sebelum ini, Nubhan yang juga seorang usahawan makanan dilaporkan menerima kecaman susulan isu perceraiannya bersama bekas isteri, Dr. Afifah Hidayah, yang dikaitkan dengan prestasinya dalam pertandingan berkenaan.
Bagaimanapun, perkongsian Nabila itu turut mengundang kecaman baharu apabila sebahagian netizen bertindak meninggalkan komen berbaur sindiran dan kutukan terhadap suaranya pula.
Antara komen yang ditinggalkan termasuklah sindiran berhubung kualiti vokalnya, dengan ada yang menyifatkan suaranya tidak sedap serta tidak layak untuk mempertahankan penyanyi lain.

Tidak melatah, pelantun lagu Peluang Kedua itu membalas kecaman tersebut dengan tenang, sambil menegaskan bahawa dirinya tidak pernah mengaku sebagai insan yang sempurna.
“Tidak pernah sekali pun saya mengakui saya seorang yang serba sempurna, saya masih belajar. Sentiasa.”
“Tapi menarik yang anda katakan saya ‘mempertahankan’ seseorang. Kalau benar, sila tunjukkan bukti,” katanya.
Dalam pada itu, terdapat juga netizen yang menasihati Nabila agar tidak membalas kecaman yang diterima kerana bimbang ia boleh memakan diri dan mengundang lebih banyak reaksi negatif.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
