Beberapa hari lalu, negara dikejutkan dengan tindakan seorang penuntut di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang memuat naik foto memijak al-Quran di media sosial, sekali gus menghina kitab suci umat Islam.
Susulan kejadian itu, pihak polis telah menahan individu berkenaan pada 25 Februari bagi membantu siasatan dan dia direman selama empat hari. Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah, tangkapan dibuat selepas laporan polis difailkan oleh bapa suspek sendiri.

Memetik laporan, mahasiswa terbabit kemudiannya tampil memohon maaf atas perbuatannya. Dia mengakui bertindak sedemikian ketika berada dalam keadaan marah serta dipengaruhi perasaan dendam. Penuntut itu turut menyifatkan tindakannya sebagai salah dan tidak beradab.
Isu yang menyentuh perkara berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R) sememangnya mencetuskan reaksi kurang senang dalam kalangan masyarakat. Ramai menyifatkan perbuatan tersebut sebagai melampaui batas dan tidak menghormati sensitiviti agama.
Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), G. Sivamalar, turut tampil mengecam tindakan berkenaan. Tegasnya, agama Hindu sebagaimana agama-agama lain tidak pernah mengizinkan sebarang perbuatan menghina kitab suci atau rumah ibadat mana-mana agama.
“Saya dengan tegas mengecam perbuatan terbaharu yang melibatkan penghinaan terhadap Al-Quran. Tindakan sedemikian (pijak al-Quran) amat biadab, tidak boleh diterima dan sama sekali tidak mempunyai tempat dalam sebuah masyarakat bertamadun serta berbilang agama seperti Malaysia.”
“Memijak Al-Quran bagi kami adalah seumpama memijak kitab Veda kami sendiri. Ia merupakan satu pelanggaran terhadap suara hati, keimanan dan nilai kemanusiaan,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook.
Kes tersebut bukan sahaja mengundang kemarahan orang ramai di media sosial, malah menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan, insiden itu turut mencalarkan maruah umat Islam di negara ini.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
