Baru-baru ini di laman Threads, seorang wanita yang bergelar guru meluahkan rasa tidak puas hati berhubungan pemansuhan peperiksaan UPSR dan PT3, di mana dia menganggap ia merupakan satu kesilapan besar.
Menurut guru tersebut, pengalaman mengajar pelajar sekolah menengah membuatkan beliau sedar betapa seriusnya kesan keputusan itu.
Ramai tak tahu asas matematik, belum mampu tutur atau tulis BM
Katanya, ada pelajar yang masih gagal menguasai asas matematik seperti darab dan bahagi dengan betul.
Lebih mengejutkan, terdapat juga pelajar Tingkatan 3 yang belum mampu bertutur atau menulis dalam Bahasa Melayu dengan lancar.
Jangan cakap pasal fokus, ramai antara mereka masuk kelas macam sedang bercuti saja, langsung tak beri perhatian. Kita akhirnya melahirkan pelajar yang tamat sekolah tanpa ilmu asas yang kukuh, tak mampu berfikir secara kritis, malah gagal menyampaikan idea dengan baik dalam bahasa sendiri.
Penting UPSR dan PT3 ni! Bentuk disiplin & tanggungjawab
Guru tersebut turut menegaskan bahawa isu peperiksaan bukan hanya berkisar tentang gred semata-mata, tetapi lebih kepada membentuk disiplin, tanggungjawab dan tabiat belajar yang konsisten.
Katanya, peperiksaan seperti UPSR dan PT3 sebenarnya memberi pelajar satu matlamat untuk dicapai, sekali gus mendorong mereka untuk mengulang kaji pelajaran dan tanpa adanya sasaran tersebut, generasi akan datang berisiko untuk menjadi tidak bersedia menghadapi cabaran sebenar kehidupan.
Luahan itu nyata mencetuskan perdebatan di media sosial, dengan ramai yang bersetuju bahawa sistem pendidikan kini semakin longgar dan tidak menitikberatkan penguasaan asas pelajar.