Penyanyi, Ernie Zakri bersimpati dengan nasib rakan selebritinya, Aina Abdul yang pada ketika ini sedang menjadi sasaran kecaman di media sosial kerana dia juga pernah berhadapan dengan situasi yang sama.
Menurut Mstar, Ernie atau nama lengkapnya Nur Ernie Shahirah Zakri berkata, dia yakin Aina akan kuat untuk berdepan dengan cabaran sebegini.
Aina mungkin menjadi sasaran sebab dia sedang bersinar dan terbang tinggi dalam kariernya.
Saya tidak berada di tempatnya tapi saya faham apa dia rasa. Impaknya sangat luar biasa kepada kesihatan mental. Ini bukan pertama kali dia terkena sebegitu. Saya yakin dia cukup kuat.
Dalam pada itu, penyanyi itu turut menasihati para peminat supaya menjaga sikap dan tidak mudah menuding jari ke arah orang lain.
Kalau peminat sayang, mereka kena jaga nama baik artis. Tidaklah semua kelab peminat saya baik, tapi saya cuba beritahu mereka supaya jangan menuding jari.
Penyanyi itu turut memberitahu dia enggan membuka akaun media sosialnya selepas selesai sesuatu acara besar.
Selalunya, saya akan lari daripada media sosial selepas selesai sesuatu acara besar seperti Anugerah Juara Lagu atau konsert.
Memang sakit bila baca, jadi saya ambil tempoh tiga hingga empat hari sehingga keadaan tenang.
Ernie berkongsi perkara itu sebagai mengulas kenyataan Aina yang tidak keluar rumah selama seminggu setelah menerima pelbagai kecaman orang ramai.