Siapa yang tidak kenal dengan pelakon jelita Nur Fazura, atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin.
Baru-baru ini, Fazura, 39, berkongsi pengalaman berharga apabila dapat melibatkan diri menjual sayur-sayuran di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kelantan.
Pengalaman tersebut dikongsikan melalui video YouTube akaun milik pelakon itu sendiri. Menurutnya berniaga merupakan angan-angannya sejak kecil dan berasa sangat teruja impian berkenaan dapat dilaksanakan.
Difahamkan tujuan utama video tersebut dimuat naik kerana niat untuk menunjukkan perjalanannya ke kediaman jurumekap peribadinya, Rozlan Nassir serta merasai kemeriahan Hari Raya Aidiladha di negeri Kelantan.
Fazura berkata bahawa sambutan raya Haji di Kelantan jauh lebih meriah berbanding negeri-negeri lain termasuk ibu kota.
Selain itu, Fazura juga menerangkan bahawa dia berasa sangat kagum dengan kerjasama dan silaturrahim antara orang kampung yang saling melakukan pelbagai aktiviti bersama-sama.
Isteri kepada pelakon Fattah Amin itu mengucapkan syukur kerana dilayan begitu baik dan perkara berkenaan merupakan sebuah memori manis yang tidak akan dilupakan.