Menzahirkan rasa kesal selepas melihat tindakan dua orang lelaki menari dalam kubur menerusi sebuah video yang tular di laman sosial baru-baru ini, Rapper dan usahawan terkemuka tanah air, Caprice tampil menhujahkan pendapat bahawa perkara yang melibatkan jenazah dan kematian tidak boleh dibuat sebagai bahan jenaka.
Katanya lagi, banyak tempat lain yang lebih sesuai untuk menari, namun pemilihan ruangan kubur untuk beraksi sedemikian rupa adalah sama sekali tidak beradab.
“Dua orang menari dalam kubur, kalau hang nak menari, ada banyak tempat, dekat rumah, gym, dan kelab. Dan rumah terakhir kita akan duduk bukan banglo, bukan kondo tetapi kubur. Tak kisah hang siapa, tapi kita semua akan duduk dalam kubur, perkara kematian dan jenazah jangan buat main.”
Dalam video tersebut, jelas kelihatan dua jejaka menari dalam sebuah lubang seakan-akan kubur yang baru sahaja digali.
Seperti sudah dijangka, perkongsian Caprice itu semestinya mendapat perhatian dari warganet khususnya pengikutnya di laman Instagram. Hal ini demikian kerana, rata-rata mereka tampil meluahkan perasaan kesal melihat kejadian tersebut.
Namun begitu, wujud juga segelintir pengikutnya yang meragui sama ada video tular itu dirakam di Malaysia ataupun di negara jiran.
Difahamkan sehingga kini, video yang dimuat naik Caprice di laman Instagramna itu sudah mendapat lebih 50,000 tanda suka.