Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memulakan rundingan awam berkaitan cadangan Kerangka Pengawalseliaan bagi Penyimpanan, Pemeliharaan dan Pendedahan Data Komunikasi untuk tujuan siasatan jenayah.
Langkah ini dibuat susulan pindaan terkini kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang mula berkuat kuasa pada Februari 2025.
Inisiatif ini bertujuan memperkukuh keupayaan agensi penguatkuasaan mendapatkan data yang sahih dan tepat untuk menyokong siasatan jenayah seperti penipuan dalam talian, pemalsuan dan buli siber.
MCMC menekankan kepentingan menjaga privasi dan tadbir urus data dalam setiap proses siasatan.
MCMC turut menggalakkan penyertaan masyarakat, industri dan agensi berkaitan dalam rundingan awam yang dibuka dari 25 Julai hingga 8 Ogos 2025. Ia susulan sesi libat urus pada Jun lalu yang melibatkan pelbagai pihak termasuk PDRM, Majlis Peguam dan NACSA.
Maklumat lanjut dan kertas rundingan boleh didapati di laman rasmi MCMC di pautan ini.