Dilaporkan mayat tanpa identiti yang ditemui di tepi jalan di Kampung Padang Air, Kuala Nerus dipercayai wanita.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar, bentuk fizikal mangsa termasuk pemeriksaan terhadap betis kaki kanan mangsa yang masih terselamat daripada rentung.
“Kita percaya mangsa adalah wanita, namun punca kematian mangsa sukar ditentukan kerana mangsa dipercayai sudah meninggal dunia sebelum dibakar”.
“Sebahagian besar anggota badan mangsa sudah terbakar kecuali betis kaki kanan dan keadaan itu menyukarkan kita untuk mengenal pasti punca kematiannya”.
Tambahnya, polis masih menjalankan siasatan dari pelbagai sudut termasuk kemungkinan mangsa berada dalam senarai kes orang dilaporkan hilang sebelum ini.
Pihaknya juga ada menerima satu laporan daripada orang awam yang mendakwa mangsa adalah ahli keluarga mereka.
“Kita akan buat ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan keputusan ini nanti dapat membantu kita mengenal pasti identiti mangsa”.
“Mengenai suspek, kita masih menjalankan siasatan dan kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat diperlukan bagi membantu siasatan”.
Sebelum ini, media melaporkan seorang tukang sapu menemui mayat tanpa identiti terbakar di tepi jalan di Kampung Padang Air, Kuala Nerus.
Tukang sapu itu menyedari kejadian itu ketika mahu memulakan tugas sekitar jam 7.15 pagi sebelum ternampak asap di dalam semak.