Tengah hari tadi, mayat lelaki yang memakai gelang putih ditemukan terapung di Sungai Terengganu berhampiran Kampung Banggol Chempedak. Allahu, sedihnya.
Menurut laporan Harian Metro, mayat tersebut ditemukan tersangkut pada tali pelampung yang dipasang untuk kerja sedut pasir di sungai itu. Mangsa juga dipercayai telah meninggal dua hari lepas ketika masih dalam kuarantin.
Pada awalnya, lelaki yang menjumpai mayat itu tidak menyangka bahawa objek terapung yang dia nampak adalah manusia sebelum membuat laporan polis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata bahawa pihaknya menghantar enam anggota dari Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Kuala Terengganu ke lokasi kejadian.
Mayat terbabit dipercayai dalam tempoh kuarantin berikutan terdapat gelang putih.
Berikutan itu anggota terpaksa mengenakan pakaian pelindung diri (PPE) ketika melakukan operasi membawa naik mayat berkenaan yang ditemui sejauh kira-kira 50 meter dari tebing.
Mayat tersebut akan dibawa ke unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk urusan lanjut.