Satu bungkusan beg plastik yang berisi mayat yang dikhabarkan telah mula mereput ditemui di tepi Lebuhraya Rawang-Serendah.
Menerusi laporan Astro Awani, penemuan mayat itu disedari oleh seorang individu sebelum bertindak melaporkan kepada pihak polis.
Menurut sumber, lelaki terbabit dikatakan sedang melakukan aktiviti berjoging di kawasan lebuh raya berkenaan, lantas sekitar jam 2.00 petang semalam, beliau terlihat satu bungkusan beg plastik terus menghubungi pihak polis untuk melaporkan hal kejadian.
Rentetan itu, pasukan forensik Selangor dan Unit Anjing Pengesan (K-19) difahamkan terus bergegas ke lokasi kejadian untuk membuat siasatan lanjut.
Hasil siasatan awal mendapati, keadaan mayat dalam bungkusan terbabit sudah mula mereput. Mayat mangsa kemudian telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.
Sehubungan itu, pihak polis juga menyeru orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes tersebut supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis (IPD) Gombak bagi membantu siasatan.
Sumber: Astro Awani