Semalam, terdapat mayat seorang warga emas yang ditemui mati di tangga sebuah bangunan di Kota Bharu, Kelantan. Sayunya hati, dahlah semalam Hari Bapa.
Menurut laporan Berita Harian, ahli keluarga telah mencari mangsa lebih sebulan dan semalam, polis menghubungi mereka dan memaklumkan penemuan mangsa. Menurut anak mangsa, kali terakhir berjumpa dengan ayahnya pada sehari sebelum hari raya Aidilfitri di rumahnya di Pulai Chondong, Machang.
Menurut anak mangsa, arwah bapanya sering ke Kota Bharu dan hidup seperti gelandangan. Walaupun sudah banyak kali ditegur, arwah tidak mengendahkannya.
Sehari sebelum hari raya baru-baru ini saya ada jumpa dan memberitahu akan membawanya ke rumah pada pagi Aidilfitri.
Keesokannya saya datang ke tempat yang dijanjikan, ayah tiada malah ada menghubungi beberapa rakannya namun mereka memberitahu tidak tahu ke mana arwah pergi.
Saya segera membuat laporan polis dalam masa yang sama turut mencarinya tapi tidak ditemui sehinggalah malam tadi saya menerima panggilan telefon dari polis memberitahu penemuan mayat ayah.
Mayat mangsa ditemui di Jalan Tengku Chik pada jam 6 petang semalam selepas orang awam menyedari terdapat bau busuk di situ.
Didapati mangsa dalam keadaan terbaring tanpa pakaian lengkap bersama dompet.
Kali terakhir berjumpa arwah kelihatan dalam keadaan baik dan tidak menunjukkan sebarang perubahan. Ketika diberitahu mengenai penemuan mayat ayah, saya hampir pengsan dan memberitahu polis mungkin mereka tersilap orang.
Saya reda dengan takdir ini dan hasil bedah siasat yang dibuat mendapati ayah terkena serangan jantung.
Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Buaya, Jalan PCB berhampiran pusara arwah emak hari ini.
Semoga semua ahli keluarga tabah menghadapi ujian ini dan Al-Fatihah kepada mangsa.