Aplikasi e-hailing dari Rusia, Maxim, sedang menangani isu dakwaan operasi haram dengan mengadakan perbincangan bersama pihak berkuasa yang berkaitan.
Memetik laporan Harian Metro, Maxim menegaskan komitmennya untuk mengekalkan reputasi dan kepercayaan dengan memberikan penjelasan yang jelas kepada pengguna, rakan kongsi, vendor, serta pihak berkepentingan lain yang bekerja rapat dengan Maxim Malaysia.

Menurut kenyataan syarikat, Maxim akan terus beroperasi di Malaysia dan menyediakan perkhidmatan yang dapat dinikmati oleh rakyat di seluruh negara.
Apabila pengguna memilih aplikasi Maxim dengan pelbagai perkhidmatan yang disediakan, keutamaan kami adalah memastikan mereka berasa selesa dan selamat.
Dengan lesen perantaraan, Maxim Malaysia menyediakan platform unik yang membolehkan pemandu rakan kongsi, penyedia perkhidmatan, dan pengguna kami berhubung dan mendapatkan perkhidmatan yang diperlukan.
Menurut Maxim, pemandu rakan kongsi yang mendaftar melalui aplikasi akan menjalani pemeriksaan menyeluruh oleh pegawai khas bagi memastikan mereka memiliki dokumen yang diperlukan dan mematuhi garis panduan e-hailing yang ditetapkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta Kementerian Pengangkutan.

Maxim turut bekerjasama dengan beberapa sekolah memandu di seluruh Malaysia bagi membantu pemandu rakan kongsi yang berpotensi mendapatkan lesen PSV dengan lebih cepat untuk menyertai platform mereka.
Selain itu, Maxim Malaysia juga bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memastikan pemandu berpotensi memahami peraturan dan garis panduan lalu lintas di jalan raya.
Maxim Malaysia akan sentiasa mematuhi undang-undang negara, bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk menyelesaikan sebarang isu, dan memberikan sokongan sepenuhnya.