Penyanyi dan ikon industri, Mawi, menyambut baik hasrat pendatang baharu Ehmad Hadie Elfardie yang sebelum ini menyatakan keterbukaan untuk berduet dengannya.
Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 44, berkata beliau tidak mempunyai sebarang halangan untuk bekerjasama selagi karya yang dihasilkan sesuai dengan vokal mereka berdua.
Tiada masalah pun, jika sesuai boleh sahaja. Tengok kepada barang iaitu lagu itu sendiri. Jika sesuai untuk kami berduet tidak jadi masalah.
Ditanya sama ada beliau sedar tentang kehadiran Hadie dalam industri, Mawi mengakui beliau sudah tahu mengenai perkembangan anak kepada penyanyi Ina Naim itu.
Saya tahu kewujudan dia. Anak-anak saya yang tonton program Talk To My Manager cerita dengan saya peserta yang ada dalam itu, antaranya Hadie.
Dalam masa sama, Mawi menitipkan nasihat buat pendatang baharu yang mula mencipta nama dalam dunia seni. Menurutnya, industri hiburan sentiasa berkembang dan perlukan pelapis, namun setiap artis harus tahu tujuan mereka berkecimpung dalam bidang ini.
Bakat dalam industri hiburan datang dan pergi. Bagus juga ada program yang melahirkan bakat-bakat baharu sebagai pelapis industri.
Nasihat saya untuk pendatang baharu kena ingat tujuan asal masuk industri. Sama ada mencari glamour semata-mata atau sebaliknya.
Mawi menegaskan bahawa setiap lagu yang dinyanyikan membawa tanggungjawab kerana ia merupakan medium penyampaian mesej kepada pendengar.
Macam penyanyi, tanggungjawab juga untuk mereka kerana lagu yang disampaikan ibarat satu risalah. Penyanyi adalah penyampai supaya mesej lagu sampai ke hati pendengar.
Beliau menambah bahawa bakat dan populariti perlu seiring dalam membina karier seni.
Selain itu, popular juga perlu ada. Kalau tiada populariti siapa yang nak dengar lagu kita. Bakat dan populariti kena seiring tetapi perlu juga bergantung kepada rezeki.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
