Pelakon Mawar Rashid menafikan dakwaan kononnya dia bakal kembali bergelar isteri dengan seorang lelaki dari Brunei seperti yang diperkatakan baru-baru ini.
Ketika ditemui media, pemilik nama Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, 31, mengakui terkejut dengan spekulasi tersebut dan menegaskan dirinya sendiri tidak mengetahui sebarang perkara berkaitan khabar angin itu.
“Mana dapat info tu? Saya pun tak pernah tahu. Kalau saya pun tak tahu, macam mana saya nak jawab? Saya pun terkejut dapat tahu khabar angin ini.”
“Mungkin salah orang rasanya… mereka mungkin salah ibu tunggal ni.”
Menurut Mawar, desas-desus berkenaan berkemungkinan tercetus susulan perkahwinan ibunya dengan seorang lelaki dari Brunei, sekali gus menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.
“Mungkin ia terkait dengan saya sebab ibu saya baru berkahwin dengan orang Brunei. Jadi, mungkin sebab itulah keluar berita begini.”
Mawar berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Nikmat Iftar Ramadan yang berlangsung di Tiffin 55 pada Sabtu.
Sementara itu, pelakon drama Nikmat Hanya Sesaat itu menjelaskan fokus utamanya kini adalah terhadap anak-anak serta masa depan mereka yang semakin membesar.
“Sekarang saya fokus pada anak-anak dan masa depan mereka. Itu adalah keutamaan saya.”
“Nak pula anak saya pun sudah ada yang masuk darjah satu. Memang tak sempatlah nak keluar atau melakukan apa-apa.”
Untuk rekod, Mawar pernah mendirikan rumah tangga dengan Raf Yaakob pada tahun 2017 sebelum disahkan bercerai pada November 2023.
Hasil perkahwinan tersebut, pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Raden Muhammad, Raden Seri Rosabella Cinta dan Raden Seri Riyanna Sayang.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
