March 9th, 2016

Pasangan Fizo Omar dan Mawar yang merupakan usahawan perniagaan tudung keluarganya iaitu Fareeda baru-baru ini mendapat kritikan kerana mutu perkhidmatan restoran ‘FizoMawar Kitchen’ milik mereka di Bangi, Selangor.

Kritikan itu ditulis oleh seorang penulis blog yang berpendapat terdapat aspek yang perlu diperbaiki dalam perniagaan restoran itu dari segi pengurusan masa penyediaan makanan dan rasa teh hijau yang terlalu manis. Rebiu penulis blog itu menjadi viral di media sosial dan Fizo bertindak mengkritik semula penulis blog itu.

Bagaimanapun Fizo telah meminta maaf apabila kritikan balas olehnya mendapat reaksi negatif Netizen.
 photo 11939570_1042986395759498_998299684_n.jpg
Melalui Utusan Online, isteri Fizo, Mawar memberitahu yang dia terus memberi semangat kepada Fizo walaupun ada pihak cuba menjatuhkan suaminya itu:-

Sebelum ini dia berada dalam dunia seni dan saya pula dalam dunia perniagaan. Sekarang apabila dia serius dalam bidang perniagaan, kami perlu saling membantu.

Sebab itu bila ada yang cuba menjatuhkan dia, mereka macam-macam cerita tidak betul tentang bisnes kami, apa yang boleh saya bantu adalah dengan terus memberi semangat, menyokongnya tanpa henti.

Saya sentiasa ingatkan dia, melayan perkara sebegini tidak akan membuahkan hasil dan mengubah apa-apa, jadi jangan terlalu ambil pusing.

Di usia perkahwinan yang masih muda, Mawar sendiri enggan terlalu memikirkan jika ada yang sakit hati melihat mereka. Kerenah manusia terlalu banyak dan tidak terdaya untuk dia sendiri memuaskan hati semua orang.

Manusia ini pelbagai dan sukar untuk saya sendiri puaskan hati semua orang. Pendekatan yang saya ambil kini pastikan keluarga dan orang terdekat bahagia dahulu. Jika terlalu fikirkan apa orang fikir, saya tidak rasa kita boleh ke hadapan. Sama juga dalam soal perniagaan, itu yang saya kongsi selama ini dengan Fizo.

Fizo pula memberitahu bahawa restoran ini juga untuk memenuhi impian ibunya yang gemar memasak. Untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan perniagaan FizoMawar Kitchen dia menghabiskan masa berbulan di Thailand untuk mendapatkan resipi masakan terbaik.

Untuk memastikan restoran ini hanya menghidangkan yang terbaik jadi saya akan berulang-alik ke Thailand sebulan sekali untuk mendapatkan bahan asas masakan.

Bagi saya boleh ambil jalan mudah dengan mengimport terus bahan-bahan ini, tetapi dalam meletakkan FizoMawar Kitchen terus berada dalam kedudukannya sendiri, saya rela meluangkan masa untuk mendapatkan apa yang terbaik untuk pelanggan.

Bukan itu saja, Fizo turut memasak di restoran miliknya dan isteri itu:-

Selama beberapa bulan saya mengelilingi Thailand untuk belajar beberapa resipi, jadi saya gunakan kesempatan ini berkongsi setiap menu menarik. Mujur buat masa sekarang juga pekerja saya sudah mahir dengan resipinya, tetapi pada masa depan saya sudah merancang untuk memperkenalkan beberapa masakan lain.

Tidaklah semua masakan di sini berasal dari Thailand, ada juga beberapa masakan ibu yang turut saya sajikan di sini. Sebab itu selain saya dan isteri, ibu juga memainkan peranan yang penting di restoran ini.

Tahun ini kami merancang untuk membuka tiga lagi cawangan di kawasan Lembah Klang. Untuk jangka masa panjang pula kami sasarkan untuk mempunyai cawangan di beberapa buah negeri pula.

Seringkali kita lihat selebriti menceburkan diri dalam perniagaan makanan. Bersandarkan pada populariti, ramai yang sedia mencuba makanan di restoran selebriti. Namun begitu telah banyak perniagaan makanan artis gulung tikar kerana tidak serius dan tidak mengambil positif kritikan pelanggan, juga kerana harga yang tidak masuk akal.

Ada baiknya mana-mana pengusaha restoran atau perniagaan makanan mendengar dan memperbaiki mutu perkhidmatan dan kesedapan makanan di premis masing-masing supaya kekal relevan dalam bidang yang terlalu banyak persaingan ini.

Jom saksikan Slot Panggung Seni Ekstravaganza Muzikal Randai “Cindua Mato” pada 25, 26 dan 27 Mac ini di Panggung Sari,…

Posted by Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara on Sunday, 6 March 2016


Comments are closed.

Loading...