Semakin ramai bergantung kepada Face ID sebagai kunci utama telefon, namun tidak ramai menyedari teknologi ini mempunyai batasannya terutama apabila ia melibatkan insan tersayang yang telah pergi selamanya.
Di Threads, Zulhilmi Khairuddin berkongsi pengalaman memilukan selepas mereka gagal membuka iPhone milik seorang arwah, walaupun sudah mencuba menghalakan telefon tepat ke wajahnya beberapa kali.

Kami cubalah nak unlock guna Face ID dekat arwah… buka mata, halakan phone depan-depan. Dah cuba dua kali pun tak berjaya.
Tujuan mereka bukan untuk menceroboh privasi, tetapi semata-mata mahu mencari nombor mak angkat arwah untuk memaklumkan berita pemergiannya.

Segala maklumat penting terkunci dalam telefon, dan mereka langsung tidak mempunyai cara lain untuk mengaksesnya. Usaha itu dihentikan apabila keluarga arwah tiba dan telefon diserahkan kepada kakaknya.
Zulhilmi kemudian menjelaskan mengapa Face ID mustahil berfungsi pada individu yang sudah meninggal dunia. Sistem Face ID memerlukan mata terbuka dan perhatian minimum sesuatu yang tidak dapat dikesan pada wajah yang sudah tidak bernyawa.
Perubahan biologi selepas kematian turut mengubah struktur wajah dan bacaan inframerah yang digunakan Apple untuk mengesahkan identiti. Malah, sistem keselamatan Apple direka dengan ciri anti-paksaan supaya telefon tidak boleh dibuka ketika pemilik tidak sedarkan diri, tidur atau dipaksa membuka kunci.
Perkongsian Zulhilmi membuka ruang cerita buat ramai yang pernah mengalami situasi sama. Seorang wanita, Amelia Ahmad, mendedahkan bahawa 40 hari sebelum suaminya meninggal dunia, Face ID pada telefon suaminya sudah mula tidak berfungsi.

“Saya perasan suami saya kena tukar Face ID sebab tak detect. Rupanya mata dan hidung dah jatuh,” tulisnya sambil menggambarkan perubahan fizikal suaminya akibat sakit.
Pengguna lain, Nrshareena, berkata telefon saudara mereka sehingga hari ini tidak dapat dibuka, menyebabkan segala maklumat penting, mesej serta urusan kerja terhenti tanpa dapat diselesaikan.
Kita orang nak buka sebab nak tengok kot ada hutang tak bayar, urusan kerja atau nak maklum kawan-kawan… tapi memang tak boleh.
Bagi Mohd Idham Haris pula, pengalaman kehilangan abang membuatkannya lebih berhati-hati.
Kisah-kisah ini menjadi peringatan bahawa teknologi sehebat mana pun ada hadnya, dan dalam banyak keadaan, ia tidak mampu mengatasi fitrah manusia.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
