Pelakon terkenal Kamal Adli menjadi perhatian ramai susulan kisah mengenai ibunya, Ustazah Alawiyatun, yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini.
Keperibadian Ustazah Alawiyatun yang digambarkan sebagai santai, kelakar dan mudah didekati ternyata mencuri perhatian warganet, termasuk bekas pelajar yang tampil berkongsi kenangan manis ketika beliau berkhidmat sebagai guru di sebuah sekolah menengah di Kajang, Selangor.

Menerusi perkongsian di Threads, latar belakang ibu kepada Kamal didedahkan apabila beliau pernah mengajar subjek Pendidikan Agama Islam (PAI).
“Kamal Adli memang dari Kajang. Emaknya ustazah mengajar subjek pendidikan agama di Convent Kajang.”
“Siapa yang pernah dapat ustazah tu angkat tangan? Emaknya pun jenis lucu jugak kalau dalam kelas,” kongsi pengguna Threads, Haidi Shafiza.
Susulan pendedahan itu, ramai bekas pelajar tampil berkongsi pengalaman mereka sepanjang bersama Ustazah Alawiyatun, yang disifatkan sebagai seorang guru peramah, kelakar dan penuh kasih sayang sehingga meninggalkan kenangan mendalam dalam ingatan mereka.
Rata-rata warganet turut meluahkan rasa terkejut apabila mengetahui bekas guru mereka mempunyai anak yang kini bergelar selebriti terkenal.
“Saya bekas pelajar Ustazah Alawiyatun. Kelakar sangat ustazah.”
“Saya anak didik ustazah. She is very proud of her son, Kamal. Mata dia bersinar-sinar kalau cakap pasal Kamal, suka tengok ustazah happy.”
Untuk rekod, Kamal Adli atau nama penuhnya Ahmad Kamal Ahmad Adli merupakan juara Hero Remaja edisi 2007/2008. Beliau turut dikenali menerusi pelbagai karya popular seperti Niyang Rapik, Gangster Celop, Abang Long Fadil dan Takluk: Lahad Datu.
Dalam kehidupan peribadi, Kamal kini mendirikan rumah tangga bersama aktres Uqasha Senrose. Pasangan ini berkahwin pada 5 November 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Uqaira Hawra, yang kini berusia 20 bulan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

