Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memandang serius penularan lirik lagu berunsur lucah, tidak senonoh serta bercanggah dengan nilai akhlak dan adab masyarakat, khususnya yang memberi pengaruh negatif kepada generasi muda, memetik Sinar Harian.
Menterinya, Dr Zulkifli Hasan berkata semua penggiat seni, penerbit, pengkarya dan pihak berkaitan perlu mematuhi Garis Panduan Hiburan Dalam Islam (Edisi Kedua) yang telah diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-107 pada Februari 2015.
“Garis panduan ini dengan jelas menetapkan bahawa lirik hiburan hendaklah bebas daripada unsur lucah, maksiat, penghinaan, manipulasi kalimah suci Islam serta perkara yang bercanggah dengan syarak dan nilai kemanusiaan,” menurutnya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau menegaskan bahawa Islam menuntut umatnya supaya menjaga kesucian lidah, pendengaran serta hati, selain mengingatkan agar setiap perkataan yang diucapkan membawa kebaikan dan tidak merosakkan maruah serta akhlak insan.

“Islam meraikan karya seni dan keindahan tetapi seharusnya ia menjadi wasilah mendidik, menenangkan jiwa dan menyebarkan nilai murni bukan sebaliknya,” katanya sambil menambah bahawa hiburan yang baik mampu membina jiwa serta memperkukuh akhlak, bukannya melalaikan atau merosakkan.
Dalam pada itu, Zulkifli berharap agar teguran tersebut dapat diterima dengan hati terbuka demi kebaikan bersama dan kesejahteraan masyarakat.
Kenyataan itu merujuk kepada lagu baharu seorang artis wanita tempatan yang didakwa mempunyai lirik berunsur lucah dan tidak bersesuaian, sekali gus mencetuskan reaksi kurang senang dalam kalangan rakyat.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
