Selalunya warga Malaysia akan memulakan kerja seawal jam 8 pagi. Pada waktu inilah semua jalan raya dan kenderaan awam akan mengalami kesesakan yang teruk. Jarang sangat tak sesak waktu ini.
Satu kajian baru mendapati jika anda memulakan kerja sebelum pukul 10 pagi didapati akan membuatkan sistem biologi tubuh tersiksa.
Dr. Paul Kelly, salah seorang saintis terkemuka di Oxford University baru ini telah mengumumkan penemuan kajian yang telah dijalankannya.
Menurut penemuan baharu itu, perbuatan seseorang individu yang perlu bangun seawal 8 pagi untuk memulakan pekerjaan harian merupakan satu tabiat yang perlu diubah. Hal ini demikian kerana, perbuatan tersebut hanya akan menyiksa tubuh.
Menurut para penyelidik lain, tabiat itu hendaklah diubah kerana secara semulajadi tubuh kita akan dikawal sepenuhnya oleh jam biologi atau nama saintifiknya Rhytm Circadian. Perbuatan memulakan tugasan yang berat sebelum jam 10 ini seterusnya akan mengganggu kitaran jam biologi tubuh atau Rhytm Circadian ini.
Secara azalinya Rhytm Circadian ini telah diprogramkan sebagai satu kitaran yang membantu tubuh badan kita untuk mengawal aktiviti otak, tahap pengeluaran tenaga dan persepsi masa tubuh memberi tindakbalas terhadap keadaan sekeliling.
Walau bagaimanapun, pada akhir abad ke-18 kita telah didedahkan dengan tempoh masa bekerja selama 8 jam sehari hanya untuk memenuhi produktiviti pengeluaran kilang dalam tempoh 24 jam sehari tanpa mengambilkira jam tubuh ini.
Oleh itu, para penyelidik mendakwa bahawa memulakan kerja sebelum pukul 10 pagi setiap hari secara ilmiahnya akan menyiksa tubuh kerana ia bukan sahaja dapat mengganggu Ryhtm Circadian tetapi turut membuang pelbagai aspek yang berbeza dari minda dan tubuh badan kita.
Dr. Paul Kelly turut mengatakan “kami mendapati masyarakat pada hari ini sebenarnya sedang menyiksa diri mereka kerana bekerja lebih masa sehingga tidak mendapat tidur yang cukup” katanya di British Science Festival baru ini.
Beliau juga telah membuat satu kajian dengan mengutarakan idea supaya mengubah masa persekolahan di Britain dari jam 8.30 pagi kepada 10.00 pagi selama seminggu berturut-turut bagi memantau sebarang perubahan tingkah laku kepada pelajar.
Hasil dari perubahan waktu masa sekolah ini kemudiannya telah dicatatkan dalam keputusan kajian beliau. Keputusan kajian ini juga mendapati bahawa terdapat pelbagai aspek yang memberi impak positif kepada sekolah.
Antaranya, kehadiran pelajar yang memberangsangkan, produktiviti pelajar yang turut meningkat dan gred keputusan peperiksaan pelajar yang berlaku secara drastik.
Para penyelidik juga turut mendakwa bahawa kajian yang sama juga perlu dilakukan didalam kalangan masyarakat terutamanya dalam aspek pekerjaan kerana ia akan memberi impak yang begitu besar kepada masyarakat.
Penyelidik juga percaya bahawa sekiranya kajian ini dilakukan kepada masyarakat, sudah pasti banyak perubahan yang akan dapat dilakukan mereka untuk memastikan kehidupan mereka lebih produktif.
Dr. Paul Kelly turut mendakwa bahawa majikan seharusnya tidak memaksa pekerja mereka memulakan kerja sebelum 10 pagi kerana ia akan menyumbang kepada tekanan emosi dan fizikal kepada pekerja. Selain itu, perkara tersebut juga boleh mendatangkan masalah kesihatan yang kronik kepada pekerja dalam jangka masa yang panjang.
Sekiranya pola bekerja ini diubah, sudah pasti faktor kesihatan pekerja akan turut berubah secara drastik selain perubahan dari aspek produktiviti kerja yang pastinya akan turut meningkat. Selain itu juga kita telah berjaya menghasilkan dunia kerja yang lebih bahagia tanpa tekanan kepada pekerja.