Masuk Hari Kedua Di Rumah Sewa baru, Bermulalah Perkara Pelik Berlaku…

Trending

Masuk Hari Kedua Di Rumah Sewa baru, Bermulalah Perkara Pelik Berlaku…

Salam. Kisah aku ini bermula dengan aku dan suami perlu berpindah ke Petaling Jaya atas urusan kerja. Suami aku dapat rumah sewa di kawasan Taman Medan dengan harga yang mampu sewa.

Advertisement

Rumah sewa ini berdekatan dengan Pasar Raya Matahari. Jadi, senanglah aku nak beli apa-apa, kan? Jalan kaki pun boleh pergi pasar raya. Klinik Kesihatan Awam Taman Medan pun dekat.

Masa awal-awal masuk ke rumah sewa ini, aku dah rasa lain macam. Mana tidaknya, aku siap jumpa kain putih lusuh berlumpur kering di dalam bilik tidur. Siap ada dua tiga helai rambut panjang melekat pada kain itu.

“Kain pontianak ke ni? Pontianak tukar baju dalam bilik ini ke?” detikku dalam hati sambil tergelak kecil.

Tanpa banyak soal, aku terus mencampak kain itu ke dalam tong sampah di luar rumah.

Hari pertama di rumah, tiada apa-apa yang luar biasa berlaku.

Aku siap menari-nari lagi dengan suami dalam rumah. Masuk hari kedua, ada sesuatu yang mula tak betul. Bila suami pergi kerja, aku berada dalam bilik bermain Candy Crush, selamba saja aku dengar ada orang mandi seperti orang gila di bilik air di luar bilik.

Jirusan airnya kedengaran seperti begitu gelojoh sangat nak mandi. Aku terus menangis dan menghubungi suami. Suami suruh baca apa-apa yang patut.

Bila bunyi orang mandi itu sudah hilang, aku pergi jenguk bilik air itu.

Ya Allah, berus gigi kami betul-betul landing dalam lubang jamban duduk itu. Malah ada najis di atas lantai. Aku cuci semua dan terus masuk ke bilik, tak keluar-keluar.

Bukan itu saja, malam itu lebih teruk. Suami balik kerja nak makan nasi. Aku hidang nasi pada suami. Tiba-tiba suami menjerit dan kata nasi dah basi dan berbau hancing!

Aku panik, macam mana boleh basi sedangkan aku baru saja masak nasi itu dan masih panas lagi. Sudahlah basi, sekali dengan pakej bau hancing pula.

Suami bangun dan terus laungkan azan di tengah-tengah rumah.

Selesai suami azan, ada suara ikut azan. Suara itu datang dari sebuah bilik kosong yang pintunya bertutup. Benda itu azan main-main, gelak-gelak dan ianya sangat menyeramkan bercampur ngeri. Menggigil tangan dibuatnya. Pertama kali berdepan dengan perkara-perkara aneh seperti ini.

Suami terus tendang pintu bilik itu sampai terbuka.

Bila nyalakan lampu, tiada apa-apa pula. Tetapi dalam bilik itu berbau hanyir, busuk bangkai. Tanpa banyak cakap, suami yang bengang terus menghubungi pemilik rumah dan mengadu mengenai apa yang berlaku.

Jawapan pemilik? Dia kata itu masalah peribadi penyewa.

Selepas tamatkan panggilan, tiada lagi gangguan.

Tetapi dalam jam 1 pagi, ada benda ketuk pintu belakang dapur macam nak pecah. Ketuk bertalu-talu macam pencegah maksiat yang ketuk pintu. Kuat sangat sehingga menyebabkan suami terkejut sampai tergolek jatuh dari katil.

Aku menangis ketakutan yang amat sangat. Suami menjerit sampai nak terkeluar anak tekak, barulah benda itu diam. Kami tidur sambil pasang ayat-ayat suci di telefon bimbit. Gangguan itu tiada sehingga waktu pagi.

Bila bangun pagi itu, ada kesan lebam yang besar di bahagian paha dan perut.

Aku dah mula takut duduk di rumah seorang diri, terus nak ikut suami pergi kerja. Suami kata jangan takut dengan benda itu, nanti dia makin suka.

Aku beranikan diri duduk di rumah seorang diri. Tetapi aku terperap dalam bilik sahaja. Dari pagi hingga ke petang, tiada apa-apa yang berlaku. Tetapi ada perkara aneh yang berlaku sewaktu suami balik kerja.

“Awak bermantera apa dengan saya ini?” soal suami.

“Mantera apa bang?” aku tak faham apa yang dia katakan.

Suami suruh tengok WhatsApp. Aku buka WhatsApp, gila betul! Aku ada hantar chat mantera pada suami. Manteranya berbunyi begini,

“Terbang melayang-layang, ada di dahan, Xxxxxxxxxxxxxxx…..”

Berderau darah aku baca. Takkan hantu setan pandai guna WhatsApp, pandai main teknologi pula? Aku jelaskan pada suami, bukan aku yang hantar. Suami diam saja masuk rumah.

“Kita buat tak layan saja. Nanti benda itu tak kacau la. Nak cari rumah sewa lain memang tak ada duit dah,” kata suami.

Selepas makan malam, kejadian malam itu lagi dahsyat.

Benda itu dah mula main bakar-bakar pula. Tengah nyenyak tidur sambil pasang ayat suci, tiba-tiba terbau asap. Alih-alih terdengar suami menjerit kuat sekali. Mana tidaknya, beg duit suami terbakar, habis duit, MyKad dan kad bank semua hangus. Memang seram dan bercampur sakit hati. Pertama kali tengok suami menangis.

Belum reda lagi kes terbakar, tiba-tiba semua bingkai gambar kahwin kami terbakar serentak. Selepas itu terdengar bunyi benda mengilai di ruang tamu punyalah nyaring dan kalau korang dengar, mesti terkencing sebab bunyi dia mengilai lain macam.

Suami tak tahan, terus menghubungi ustaz kenalannya dan minta dia datang ke rumah.

“Saya di Kuantan, Pahang ni,” kata ustaz berkenaan.

Selepas ustaz kata begitu, ada satu suara garau bercakap di depan pintu bilik kami.

“Di Kuantan ya? Hihihi!”

Suami aku terus buka pintu luas-luas dan cakap, “Jangan kacaulah setan!” sebab benda itu dah berani dekat dan bersuara. Selepas itu suami sambung bercakap dengan ustaz.

“Ustaz dengar tak tadi?” soal suami.

Namun pertanyaan suami tidak dijawab, sebaliknya ustaz sedang bacakan sesuatu.

Dalam beberapa saat kemudian, dia suruh suami azan di setiap penjuru bilik. Suami cepat-cepat buat. Selepas itu gangguan dah pulih sikit dan kami kembali tidur.

Keesokan hari bila bangun, aku tiba-tiba berada di dalam bilik air.

Suami angkat aku masuk bilik. Suami terpaksa ponteng kerja. Aku dah macam orang tak betul dan asyik ketakutan saja. Aku paksa suami cari rumah sewa lain. Suami duduk termenung dan diamkan diri saja.

Pagi itu aku ikut suami beli nasi lemak di luar dengan menaiki motosikal.

Balik saja rumah bila buka pintu, ada dua ekor burung gagak terbang dalam rumah. Terkejut kami dibuatnya. Malah ada najis di atas meja makan. Hilang selera nak makan. Suami tampar meja dengan tangan dan berkata, “ini sudah melampau!”. Suami suruh kemas pakaian dan keluar dari rumah.

“Rumah ini berpuaka tahap gila!” kata suami.

Tanpa berlengah lagi, aku terus kemas pakaian. Suami pergi buang air besar. Dalam masa aku tengah mengemas pakaian, terdengar bunyi orang memasak di dapur.

Aku terus pergi tengok dan alangkah terkejutnya aku bila tengok ada pontianak dengan rambut panjang sampai ke pinggang, rambut kusut masai tutup muka, pakai kain putih lusuh yang aku buang sebelum ini. Selamba saja dia berdiri di dapur seperti patung sambil dua tangan letak di perut seperti orang sedang bersolat.

Benda tak guna itu memandang aku, lutut pula sudah goyang dan mulut terkunci serta tak boleh jalan. Badan menggigil-gigil. Serius aku tak pernah nampak benda-benda ghaib ini. Sekarang dah nampak, memang tercabut skru lutut.

Terdetik dalam hati, adakah kita boleh melihat makhluk ghaib sejelas ini dalam waktu pagi?

Nak panggil suami tak mampu, mulut terkunci habis! Aku ingat dalam filem saja bentuk pontianak begini. Rupa-rupanya realiti pun sama. Selepas terketar-ketar sambil menangis, aku pengsan. Sedar-sedar, aku sudah berada di pusat rawatan Islam.

Sekarang kami dah tinggalkan rumah syaitan itu.

Kami cari rumah sewa yang baru dan dapat rumah di Flat di Taman Desa Perangsang Jalan PJS 3/52. Kedai runcit Aceh pun di depan rumah sahaja. Tiada puaka-puaka syaitan lagi. Alhamdulillah semuanya baik-baik saja.

Cuma satu saja yang pelik.

Masa hari pertama masuk ke rumah sewa baru ini. Aku ternampak kain putih lusuh baik saja landing di atas lantai rumah flat ini. Bila aku pandang kali kedua, hilang pula. Mungkin khayalan aku saja sebab masih trauma agaknya. Tetapi apa yang penting, gangguan yang menimpa kami sudah tiada. Tenang rasa jiwa.

Sumber

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...