Bank Negara Malaysia (BNM) telah menambah 12 entiti baharu ke dalam Senarai Amaran Pengguna Kewangan (FCA), yang bertujuan memberi peringatan kepada orang ramai mengenai syarikat serta laman web yang tidak dibenarkan atau tidak diluluskan di bawah undang-undang serta peraturan yang ditadbir oleh bank pusat itu.
Dalam perkongsian di platform X (dahulunya Twitter), BNM menyatakan bahawa antara entiti yang disenaraikan ialah Versa Investment (tidak berkaitan dengan Versa Asia Sdn Bhd), Master Binary, Master Binary Trade, Master Binary Options, Binary Options, Binary Options FX, Sejahtera Invest, Sahabat Invest, Tengku Forex, Global Asia FX, Bold Prime, dan Fokiyoks.
Selain itu, maklumat terkini berkaitan Invest KL Malaysia (tidak berkaitan dengan InvestKL), HSBC Bank Investment (tidak berkaitan dengan HSBC Bank Malaysia Bhd), dan Headway juga telah dikemas kini dalam senarai tersebut.
Menurut BNM, senarai FCA ini dikemas kini secara berkala berdasarkan maklumat yang diterima daripada orang ramai selepas menjalankan penilaian terhadap entiti dan skim yang dilaporkan.
Pengguna boleh merujuk senarai FCA sebagai salah satu cara untuk menyemak sama ada sesuatu entiti atau skim telah dikenal pasti sebagai entiti yang diberi kuasa oleh BNM untuk menawarkan produk atau perkhidmatan kewangan yang dikawal selia oleh bank pusat.
Namun, BNM menegaskan bahawa ketiadaan atau penyingkiran mana-mana entiti dari senarai itu tidak boleh dianggap sebagai pengesahan bahawa ia telah dilesenkan atau dikawal selia oleh pihak mereka.
Sebagai peringatan, BNM menggesa orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati sebelum membuat sebarang pelaburan kewangan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.