Dua masjid suci umat Islam iaitu Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah akan kembali dibuka semula tidak lama lagi sebaik sahaja masalah penularan COVID-19 dapat ditangani. Perkara ini diumumkan sendiri oleh Presiden Ketua Umum Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Sheikh Abdul Rahman As-Sudais menerusi akaun Twitter Haramain.info.
Keadaan dijangka akan kembali normal di kedua-dua masjid suci ini tidak lama lagi namun tidak dapat dipastikan lagi tarikh sebenar pembukaan semula. Menurutnya, dua masjid suci itu akan dibuka untuk tawaf dan solat, serta ziarah terhadap junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.
Pihaknya tidak akan tergesa-gesa membuat keputusan membuka dua masjid tersebut kerana perlu mengambil semua langkah pencegahan.
LATEST UPDATE: 29TH APRIL 2020 – 6TH RAMADHAN 1441 pic.twitter.com/nPm1tQan2D
— ???????? (@HaramainInfo) April 29, 2020
Imam Besar Masjidil Haram itu turut meminta umat Islam mendoakan agar situasi pandemik ini cepat berakhir. Untuk makluman, teknologi moden akan digunakan untuk memperkukuhkan langkah pencegahan bagi menangani pandemik global itu. Beliau sebelum itu menyaksikan pelancaran penggunaan kamera termal di pintu masuk Masjidil Haram.
Tidak ada tarikh yang masih ditetapkan untuk pembukaan dua masjid ini seperti yang tular di media sosial. Menerusi hebahan di akaun Twitter tersebut, pihaknya memberitahu mesej mengenai tarikh pembukaan yang dikongsikan adalah palsu dan tidak tepat.
Mesej mengenai tarikh pembukaan dua masjid ini kepada orang awam adalah palsu. Buat masa ini, larangan solat berjemaah masih lagi berkuatkuasa. Kami akan maklumkan sendiri tarikh sebenar pembukaan menerusi akaun rasmi.
Arab Saudi sebelum ini menggantung sementara solat tarawih di dua masjid suci di Makkah dan Madinah, serta ibadah umrah, bagi mengekang penularan COVID-19. Sehingga Rabu, Arab Saudi mencatat sebanyak 21,402 kes jangkitan COVID-19 dan 157 kematian.