Sebuah inisiatif unik oleh Masjid Seksyen 7, Shah Alam, Selangor mencuri perhatian ramai apabila menyediakan perkhidmatan makanan percuma khusus untuk golongan asnaf dan pelajar yang memerlukan.
Menerusi hantaran di Threads, pihak masjid memaklumkan mereka menyediakan mesin vending makanan percuma pertama di Malaysia yang dikhaskan buat golongan tersebut.

Inisiatif itu bukan sekadar menyediakan mesin berisi makanan, malah turut dilengkapi dengan stesen pemanas di sebelah mesin bagi memudahkan penerima menikmati makanan dalam keadaan panas dan segar.
Dengan adanya kemudahan microwave (gelombang mikro), penerima boleh terus memanaskan makanan yang diambil sebelum menikmatinya. Berdasarkan gambar yang dikongsikan, makanan yang disediakan adalah jenis ‘ready to eat’ dan terdiri daripada pelbagai pilihan.

Perkongsian tersebut menerima reaksi positif daripada orang ramai yang memuji usaha masjid dalam membantu mereka yang memerlukan. Malah, ramai turut menyatakan hasrat untuk berkongsi rezeki dengan menyumbang agar lebih banyak makanan dapat diisi ke dalam mesin berkenaan.
Dalam masa sama, terdapat juga pertanyaan mengenai cara untuk golongan asnaf dan pelajar mendapatkan bantuan tersebut. Menurut pihak masjid, mereka yang layak perlu mendapatkan nombor pin daripada Ahli Jawatankuasa Masjid sebelum boleh menggunakan mesin berkenaan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
