Jerman sebelum ini tidak pernah membenarkan laungan azan dilakukan menggunakan pembesar suara di masjid-masjid di dalam negara itu. Bukan sahaja di Jerman malah Belanda juga melarang sebarang laungan azan dilakukan. Tetapi kini sesuatu yang menarik berlaku di sana apabila laungan azan kini dibenarkan untuk tujuan yang berbeza.
Bagi menaikkan semangat masyarakat Muslim di sana menghadapi COVID-19, Jerman kini membenarkan laungan azan di masjid dilakukan sejak minggu lepas. Laungan azan kedengaran di salah satu masjid milik masyarakat Turki Muslim di sana, DITIB Merkez Mosque di kota Duisburg barat.
Menurut jurucakap DITIB, Fahrettin Alptekin, laungan azan kedengaran dari lebih 50 masjid di sana. Azan juga dilakukan menggunakan pembesar suara yang sebelum ini tidak dibenarkan di Jerman melainkan jika ada acara-acara khas.
“Gereja di sekitar kawasan kejiranan kami juga bertanya sama ada kami ingin mengambil bahagian sebagai tanda solidariti.”
Hülya Ceylan, ketua persatuan dan sukarelawan DITIB di masjid Duisburg berkata laungan azan ini dibenarkan bagi menguatkan semangat penduduk Muslim di sana ketika menghadapi saat sukar ketika ‘lockdown’ ini. Jerman sebelum ini telah mengumumkan lanjutan tempoh ‘lockdown’ yang akan dipanjangkan sehingga 19 April ini.
Selain daripada Jerman, Belanda turut mengambil langkah yang sama dengan membenarkan laungan azan dilakukan menggunakan pembesar suara. Ianya juga dilakukan bagi menggalakkan perpaduan dikalangan masyarakat tempatan untuk menghadapi penularan COVID-19.
Jerman merupakan negara ketiga paling teruk dilanda COVID-19 selepas Itali dan Sepanyol. Setakat ini, Jerman menerima 100,000 pesakit COVID-19 dengan 2,000 kematian. Manakala Belanda dengan 19,000 kes dan 2,000 kematian telah dicatatkan.