Terbaru, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa tidak realistik untuk berfikir dunia akan bebas pandemik COVID-19 akhir tahun ini.
Kata Pengarah Darurat WHO, Michael Ryan, bagaimanapun menyatakan berkemungkinan kadar kemasukan ke hospital dan kematian dapat dikurangkan.
“Tetapi virus itu tetap ada, terutama ketika jumlah kes baharu global meningkat minggu lalu selepas menunjukkan penurunan selama enam minggu berturut-turut”
“Masih terlalu awal dan saya rasa tidak realistik untuk berfikir bahawa kita akan membendung virus ini pada akhir tahun ini”
Tambahnya, program imunisasi pekerja penjagaan kesihatan barisan hadapan dan mereka yang paling terdedah terhadap penyakit kronik boleh menepis kebimbangan terhadap wabak itu.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus memaklumkan, jumlah kes baharu meningkat minggu lalu di Eropah, Amerika, Asia Tenggara dan Mediterranean Timur.
“Ini mengecewakan, tetapi tidak mengejutkan. Sebahagiannya disebabkan oleh pelonggaran langkah kesihatan awam, peredaran varian yang berlanjutan dan individu yang mengabaikan aspek penjagaan dan langkah kesihatan.
“Vaksin akan membantu menyelamatkan nyawa, tetapi jika negara hanya bergantung kepada vaksin, ia adalah salah… langkah asas kesihatan awam tetap menjadi asas untuk melawan virus itu”
Sebanyak 11 juta dos vaksin akan dihantar ke negara peserta minggu ini melalui program Covax dengan 237 juta dos akan diperuntukkan kepada 142 negara sehingga akhir Mei ini.
Semoga negara kita cepat pulih lah ya, kita jaga kita!