Birapun sebelum ini mendakwa kerjaya dalam industri seni kurang berkat, namun pelakon hebat tanah air, Zul Yahya akui dirinya kini masih menerima tawaran berlakon.
Bagaimanapun, Zul mendedahkan beliau akan bertindak untuk mempertimbangkan watak berkenaan terlebih dahulu agar sesuai dengannya andai ingin terlibat kembali dalam dunia lakonan.
Dedahnya lagi, kesesuaian yang maksudkan adalah watak yang wajar dengan usianya.
“Tawaran memang ada, tapi saya sendiri yang pilih untuk berehat terlebih dahulu. Kalau ada keinginan untuk kembali berlakon, saya akan buat tapi mengikut kesesuaian. Kalau watak yang ditawarkan itu kena dengan usia, lebih matang dan mungkin lebih serius, saya akan pertimbangkan.”
Hal ini kerana, beliau berharap agar watak yang dilakonkannya itu mampu memberi impak positif kepada penonton dan juga masyarakat.
“Kalau boleh, biarlah karakter yang saya lakonkan itu, ada nilai dalam penyampaian kepada penonton dan menjadi asbab untuk sampaikan sesuatu yang baik buat masyarakat juga.”
Untuk rekod, beliau yang kini bermastautin di Ipoh mendedahkan dirinya kini sedang sidang menguruskan perniagaan makanan, malah bakal membuka sebuah kedai runcit di kawasan sekitar tempat tinggalnya bulan hadapan.
Sumber: Harian Metro