Masih Tak Pasti Dah Layak Bayar Atau Belum? Ini Apa Yang Umat Islam Selalu Terlepas Pandang!

Hiburan

Masih Tak Pasti Dah Layak Bayar Atau Belum? Ini Apa Yang Umat Islam Selalu Terlepas Pandang!

“Gaji aku kecil, rasanya aku tak layak bayar zakat lagi….”

Adakah anda seorang pembayar zakat? Jika YA, tahniah kami ucapkan kerana anda telah berjaya menunaikan salah satu kewajiban sebagai umat Islam.

Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 103 ada berfirman dengan ertinya:

“Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk), dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka, dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui.”

Surah At-Taubah (ayat 103)

Kenapa Kena Bayar Zakat?

Zakat berasal dari terbitan kalimah ( زَكَى ) yang bermaksud suci dan subur, termasuklah bersih, berkat, berkembang, dan baik kepada harta zakat, pembayar zakat, dan penerima zakat.

Advertisement

Dari segi syarak, ia bermaksud mengeluarkan harta tertentu dengan kadar tertentu mengikut syarat-syarat tertentu untuk diagihkan kepada golongan tertentu.

Syarat zakat adalah Fardhu Ain ke atas setiap orang Islam yang memenuhi segala syarat-syarat wajib dan ia termasuk dalam salah satu rukun Islam.

Adakah Anda Sudah Layak Membayar Zakat?

Ramai sebenarnya yang tak pasti atau ragu-ragu, adakah mereka sudah layak untuk membayar zakat. Tapi sebelum itu, ingin kami jelaskan bahawa zakat terbahagi kepada DUA iaitu zakat fitrah (ditunaikan semasa bulan Ramadan) dan juga zakat harta.

Zakat harta terbahagi kepada jenis-jenis harta yang boleh dizakatkan seperti zakat pendapatan, zakat emas & perak, zakat perniagaan, zakat simpanan, zakat pelaburan, zakat wang kripto dan sebagainya.

Terdapat 5 syarat yang menentukan samada anda layak membayar zakat atau sebaliknya:

Islam: Zakat difardhukan ke atas pemilik harta yang beragama Islam sahaja. Orang bukan Islam (kafir) tidak difardhukan menunai zakat, bahkan zakat mereka tidak sah jika ditunaikan kerana zakat mempunyai ciri-ciri ibadat.

Milik Sempurna: Harta yang dizakatkan mestilah dimiliki sepenuhnya oleh seseorang. Milik sempurna bermaksud Pemilikan seseorang terhadap harta secara sah sepanjang haul dan mempunyai kuasa secara bebas untuk mengurus dan memperolehi manfaat dari harta tersebut tanpa sekatan atau kawalan undang-undang dan peraturan.

Cukup Nisab: Nisab ialah kadar minimum pemilikan sesuatu harta yang mewajibkan zakat ke atas harta itu. Harta mesti mencapai paras nisab tertentu yang berbeza mengikut jenis harta (contohnya, 85 gram emas untuk zakat pendapatan dan simpanan).

Cukup Haul: Haul ialah tempoh setahun (12 bulan) qomariah pemilikan kekal harta zakat oleh seseorang selain dari harta zakat biji-bijian, buah-buahan, galian dan harta karun.

Berkembang (Al-Nama): Zakat hanya dikenakan pada harta yang berkembang atau berpotensi untuk berkembang, seperti harta yang memberi pulangan.

Harta yang berkembang adalah harta pemilikan yang boleh berkembang secara hakiki atau boleh diusahakan. Bentuk harta zakat yang berkembang secara hakiki adalah:

-Binatang ternakan berkaki empat seperti unta, lembu, kerbau, kambing.

-Hasil tanaman yang menjadi makanan asasi seperti padi, jagung dan seumpamanya.

-Barang perniagaan yang berkembang dengan sebab berlaku transaksi urusniaga di pasaran.

Harta zakat yang berkembang dengan sebab boleh diusahakan ( تَقْدِيْرِي ) adalah :

-Emas, perak, mata wang dan hasil galian seperti minyak, bijih timah, gas asli dan harta karun yang bernilai dan seumpamanya.

-Tanaman, ternakan dan lain-lain harta yang diusahakan secara komersial.

Adakah anda memenuhi 5 syarat di atas? Jika YA, maka anda telah WAJIB untuk membayar zakat. Cara pengiraan zakat ini juga berbeza mengikut individu mengikut pendapatan dan tanggungan masing-masing.

Untuk membuat pengiraan zakat dengan mudah, anda boleh gunakan kalkulator zakat ini.

Dekat Mana Nak Kena Bayar Zakat?

Dah tahu jumlah zakat yang anda perlu bayar? Langkah seterusnya anda bolehlah buat pembayaran zakat secara dalam talian atau pergi je ke mana-mana Majlis Agama Islam Negeri atau Agensi Mengurus Zakat berdekatan.

Ingin kami ingatkan juga yang anda perlu membayar zakat pendapatan di negeri tempat anda bekerja. Sebagai contoh jika anda tinggal di Kuala Lumpur tetapi bekerja di Selangor, maka anda boleh buat pembayaran zakat di Lembaga Zakat Selangor.

Tapi bukan itu saja kalau anda nak dapat maklumat tentang zakat ini anda boleh layari saja Lembaga Zakat Selangor dan boleh terus buat pembayaran.

Jika anda pembayar cukai, anda perlu tahu bahawa dengan membayar zakat, cukai pendapatan anda layak untuk mendapat Rebat Cukai Pendapatan 100 peratus.

Memandangkan tahun 2024 bakal berakhir, jangan berlengah untuk menunaikan kewajiban anda sebagai umat Islam dengan menunaikan zakat.

Maklumat lanjut mengenai zakat boleh layari: https://www.zakatselangor.com.my/.

#Nasihat Editor

Pada anda yang dah layak untuk menunaikan zakat, jangan pernah rasa keberatan untuk mengeluarkan sedikit harta kita bagi membantu pembangunan ummah. InsyaAllah harta dunia ini tidak akan berkurang, sebaliknya yakinlah Allah akan membalasnya dengan pahala dan ganjaran yang berlipat kali ganda.

Sumber: Zakat Selangor

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...