Sejak tahun lalu, isu perceraian melalui lafaz taklik semakin sering dibincangkan dalam kalangan masyarakat.
Antara sebab utama isu perceraian taklik ini mendapat perhatian di media sosial adalah kerana beberapa selebriti tanah air yang bercerai akibat pasangan mereka melanggar perjanjian taklik yang telah dibuat.
Terdapat juga pandangan yang menganggap cerai taklik kini menjadi satu trend dalam kalangan pasangan suami isteri zaman sekarang. Sikap sesuka hati menetapkan syarat tanpa memahami kesannya boleh merosakkan sebuah perkahwinan dalam sekelip mata.
Bagi mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam mengenai cerai taklik, pendakwah bebas yang juga pengacara, Amin Idris, ketika dihubungi HibGlam, menjelaskan bahawa ramai pasangan suami isteri masih kurang memahami keperluan dan punca terjadinya talak akibat pelanggaran taklik.
Sebab itu masa kelas agama atau kursus kahwin jangan tidur. Pertama sekali kena faham dulu ilmu asas.
Sebenarnya taklik ini sudah dibaca suami kepada isteri selepas akad nikah. Itu adalah lafaz taklik umum tentang tanggungjawab kedua-dua belah pihak.
Manakala kalau taklik khusus pula si suami meletakkan syarat tertentu terhadap isteri. Kalau langgar memang jatuh talak,
Apabila ditanya mengenai pandangan bahawa cerai taklik sering disalahgunakan oleh golongan suami, Amin menegaskan bahawa situasi seperti itu memang wujud, namun syarat yang ditetapkan mestilah tidak bertentangan dengan syarak.
Selain salah guna oleh suami, Amin turut menyatakan bahawa terdapat kebimbangan lain, iaitu dari golongan feminis yang mempertikaikan cerai taklik kerana dikatakan ia menyekat kebebasan wanita.
Ada wanita sanggup melanggar perjanjian taklik yang ditetapkan suami. Kalau nak hidup bebas tetapi sudah kahwin, memang tak bolehlah.
Hakikatnya, taklik bukan untuk mengongkong atau menyekat kebebasan wanita. Kalau ikut agama, memang tak akan timbul bebanan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.