Malaysia Airlines Berhad (MAS) sungkur 10 tempat manakala Air Asia terus maju dua langkah dalam senarai Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax 2016.
Di sebalik pelbagai usaha pembaik pulihan yang dilakukan terhadap MAS baru-baru ini, syarikat penerbangan itu jatuh ke kedudukan 34, lapor New Straits Times.
Air Asia pula meningkat naik dari kedudukan ke-25 kepada 23 sekali gus mendahului kategori “Tambang Rendah Penerbangan Terbaik Dunia” menewaskan pesaingnya Virgin Amerika dan Norway yang kini berada di tempat kedua dan ketiga masing-masing.
AirAsiaX menduduki tangga keenam serta memenangi “Syarikat Penerbangan Tambang Murah Premium Seat Terbaik.”
MAS, pada tahun lalu menerima Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, Christoph Mueller yang membuat rombakan besar-besaran melibatkan $1.56 bilion yang termasuk membuang 6,000 kakitangannya serta menggugurkan laluan yang tidak menguntungkan.
Dalam temu bual pada awal tahun ini, Mueller mengesahkan syarikat penerbangan itu telah menunjukkan kemajuan dengan mencatat keuntungan pada bulan Februari, hasil bulanan positif yang pertama sejak beberapa tahun.
Bagaimanapun anugerah yang diumumkan pada Selasa di Farnborough Airshow menunjukkan sebaliknya.
Keputusan anugerah yang sama juga menyaksikan Emirates Airlines mendahului senarai mengambil alih kedudukan pemenang tahun lalu, Qatar Airways.
Singapore Airlines menurun daripada tempat kedua pada 2015, ke tempat ketiga.
Anugerah ini memberi tumpuan kepada pengguna industri penerbangan dunia dan turut dikenali sebagai Anugerah Pilihan Penumpang.
“Ia adalah tanda aras global kecemerlangan syarikat penerbangan dan penghargaan kualiti yang paling didambakan dalam industri.
“Pelancong dari seluruh dunia mengambil bahagian dalam kajian kepuasan penumpang syarikat penerbangan terbesar di dunia untuk membuat keputusan terhadap pemenang anugerah,” kata akhbar harian berbahasa Inggeris itu, memetik satu kenyataan yang disiarkan di laman web Skytrax.
Senarai 10 syarikat penerbangan terbaik anugerah tahun 2016 adalah seperti berikut:
1 Emirates
2 Qatar Airways
3 Singapore Airlines
4 Cathay Pacific
5 ANA All Nippon Airways
6 Etihad Airways
7 Turkish Airlines
8 EVA Air
9 Qantas Airways
10 Lufthansa Airlines
Bagi syarikat penerbangan tambang rendah terbaik di dunia, kedudukanya adalah seperti di bawah:
1 AirAsia
2 Virgin Amerika
3 Norwegian
4 EasyJet
5 Jetstar Airways
6 AirAsiaX
7 WestJet
8 Indigo
9 Jetstar Asia
10 Azul Airlines