Seorang penyampai radio dari Ikim FM tampil menegaskan akaun media sosial yang tular baru-baru ini bukan miliknya, selepas beberapa foto tidak sopan dan perbualan berbaur lucah dikaitkan dengannya hingga mencemarkan nama baik serta reputasinya.
Akaun media sosial palsu, guna AI
Siti Rohani Surani atau mesra dipanggil sebagai Siti mengakui bahawa dirinya terkejut dan kecewa apabila wajah digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab di platform media sosial, malah siap dengan gambar seksi dan DM lucah bersama pengikut.
Ini tahun ke-20 saya bersama Ikim FM. Saya tiada satu akaun media sosial pun. Hanya Facebook yang dibuat oleh Ikim dan dikawal oleh pihak pengurusan. Media sosial yang ada sekarang semua akaun palsu dan mereka menggunakan kecerdasan buatan (AI) hingga ubah nampak seperti saya.
Maruah tercalar, beri tekanan
Tambah Siti, perkara ini jelas telah mencalarkan maruahnya dan memberi kesan yang amat mendalam secara emosi serta mental.
Susulan itu, penyampai radio tersebut berharap agar perkara ini mendapat perhatian pihak berkuasa dan diselesaikan dengan kadar segera.
Maruah saya sangat tercalar, rasa geram, malu dan tertekan bila perkara ini berlaku pada saya.
Sebelum ini, tular di media sosial foto seorang wanita bertudung tetapi berpakaian mencolok mata ketika berada di gelanggang pickleball, disertai dengan hashtag nama Siti Rohani Surani yang dikenali sebagai penyampai radio Ikim FM.