Penyanyi, Marsha Milan akui dia berasa kecewa apabila dia tetap menerima kritikan bahawa dia telah lupa asal usulnya walaupun dia berusaha mempertahankan identiti budaya asalnya.
Marsha atau nama lengkapnya Marsha Milan Londoh berkata, dia tidak menyangka netizen mempersoalkan dirinya yang dikatakan tidak lagi menyerupai dialek orang Sabah.
Pada awalnya saya akui, saya sedikit kecewa. Saya cuba mempertahankan identiti komuniti Sabah dengan menyanyikan lagu-lagu dalam bahasa Sabah serta menghasilkan karya yang ada unsur budaya Sabah.
Namun ada juga yang tetap kata saya lupa diri. Itu adalah perasaan saya waktu itu. Saya tak nafikan saya sedikit terganggu.
Menurut Astro Gempak, penyanyi itu menegaskan dia tidak bermaksud untuk mengatakan masih ada lagi orang luar yang mempunyai cara pemikiran sedemikian.
Saya tak kata semua komuniti Sabah fikir macam tu, tapi saya faham jika kadangkala berlaku salah faham.
Baginya, dia memahami situasi itu kerana dia akui sudah lama tinggal di Semenanjung Malaysia yang menyebabkan cara percakapannya turut terpengaruh dan berubah mengikut persekitaran.
Bila terlalu lama berada di Semenanjung, kita secara tak sedar terguna dialek Kuala Lumpur di Sabah, apabila di Kuala Lumpur, terguna dialek Sabah.
Perkara ini mungkin mengejutkan sesetengah pihak kerana mereka lihat perubahan itu sebagai sesuatu yang ketara, hasil daripada terlalu lama berada di negeri orang.
Bagi saya, apabila bertutur guna dialek biasa, mungkin ada orang Sabah anggap saya lupa diri. Perkara kecil seperti ini yang kadangkala jadi isu.
Susulan itu, penyanyi lagu Hening Rindu itu berharap isu dirinya kurang bertutur dalam dialek Sabah tidak akan diperbesarkan oleh orang ramai serta mengakui kelemahannya yang jarang menggunakan dialek tersebut ketika berada di Semenanjung.