Penyanyi dan pelawak popular Mark Adam atau nama sebenarnya Fikri Mark Adam Abdullah, akui yang dirinya pernah meninggalkan puasa Ramadan selama beberapa tahun selepas memeluk agama Islam pada tahun 2002 kerana tidak mampu menahan dahaga.
Mark menyatakan yang beliau menghadapi kesukaran menahan dahaga berbanding lapar makanan.
“Memang sukar pada mulanya kerana cabaran besar saya adalah menahan dahaga. Rasa lapar itu boleh tahan lagi, kerana saya biasa makan dua kali dalam sehari,” katanya kepada Harian Metro.
Tambah Mark, beliau akur perlu mengambil masa yang agak lama untuk betul-betul berjaya berpuasa dengan sempurna.
Meskipun mengetahui ada dalam kalangan individu yang bukan beragama islam sudah biasa berpuasa, namun perkara itu bercanggah dengan dirinya kerana menurut Mark beliau langsung tidak pernah berpuasa sebeum memeluk Islam.
Mark bagaimanapun tetap bersyukur kerana isterinya dan keluarga masih boleh memahami dirinya. Malah, langsung tidak pernah memaksa tetapi sentiasa memberikan nasihat untuknya terus tabah menjalani ibadah puasa dengan penuh keberkatan.
“Melalui pengalaman itu, apa yang saya belajar ialah nak puasa kena sahur. Amalan makan sahur itu jangan sesekali ponteng. Selain itu, hati kena sentiasa nekad untuk boleh menghabiskan puasa,” tambahnya.
Selain tidak cerewet soal makanan dan tidak tahu memasak, Mark juga sering membantu isterinya melakukan kerja di dapur, malah Mark kini juga difahamkan bijak mengambil inisiatif untuk mandi di siang hari bagi menyegarkan kembali tubuh badannya sepanjang menunaikan ibadah berpuasa.
Sumber: Harian Metro