Ditubuhkan pada tahun 2015, Mara Digital Mall dilihat sebagai pencabar utama kepada Plaza Low Yat dalam menyediakan barangan IT kepada pengguna. Tetapi belum sampai lima tahun ditubuhkan, premis ini sudah nampak ‘goyah’ dek ketiadaan pelanggan.
Semasa awal penubuhan, ramai yang melihat penubuhan ini sebagai inisiatif dalam membantu masyarakat Melayu terutamanya dalam bersaing untuk perniagaan IT. Namun kini, bangunan itu seolah-olah hidup segan, mati tak mahu.
Ditubuhkan MARA
Pada awal penubuhan, sambutan baik diberikan daripada pembeli terutamanya masyarakat Melayu yang ingin membantu usahawan bumiputera. Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA) turut terlibat sama dalam pembukaan premis ini.
MARA juga memberikan subsidi enam bulan pertama kepada peniaga bumiputera di premis MARA Digital untuk meringankan beban kepada peniaga yang baru hendak mula berniaga.
Insiden pergaduhan di Plaza Low Yat
Semasa ura-ura penubuhan premis diumumkan, ramai yang tak dapat lari dari mengaitkan insiden kekecohan yang berlaku di Plaza Low Yat satu ketika dahulu. Kecoh apabila seorang lelaki Melayu ditangkap mencuri sebuah telefon bimbit di Plaza Low Yat.
Insiden ini kemudiannya membawa kepada satu rusuhan dan menyentuh sentimen perkauman yang dianggap sangat sensitif. Beberapa ketika kemudian, premis Mara Digital ditubuhkan dengan inisiatif membantu bumiputera mempunyai pusat perniagaan IT tersendiri.
Empat pusat IT Mara Digital dibuka di beberapa negeri seperti di Johor Bahru, Kuantan, Shah Alam dan Kuala Lumpur. Tetapi yang masih beroperasi sehingga kini hanyalah premis di Kuala Lumpur dan di mana tiga lagi premis lain sudah ditutup.
Sepi tanpa pengunjung
Kini, Mara Digital Kuala Lumpur mungkin bakal menerima nasib yang sama seperti tiga premis yang lain. Premis tersebut hampir kosong tanpa pengunjung dengan hanya beberapa lot yang masih dibuka. Kadang kala jualan dalam seminggu tidak mencapai target yang baik.
Jualan untuk komputer biasanya bermusim. Terutamanya masa musim kemasukan pelajar universiti, barulah kita dapat tengok orang datang untuk membeli laptop.
Menurut penjual di sana, antara masalah terbesar adalah kurangnya promosi daripada pihak-pihak tertentu. Sehinggakan ada yang tidak tahu di mana lokasi sebenar premis ini kerana tidak mendapat hebahan meluas.
Tak dapat sokongan?
Jika diikutkan, pada awal penubuhan sokongan penuh diberikan oleh orang Melayu sehinggakan berjaya mendapat kutipan hampir RM1 juta setiap bulan. Dan kenapa sokongan itu tidak diteruskan sehingga kini?
Akhir kata, tepuk dada tanya selera.